Paraglider maut rempuh pokok di Kuala Kubu Bharu

Paraglider maut rempuh pokok di Kuala Kubu Bharu

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kuala Bharu, selepas mengalami pendarahan teruk dan patah kaki akibat impak rempuhan.

Pasukan bomba mengambil dua jam untuk menurunkan mangsa dari pokok setinggi 12.19m di Bukit Batu Pahat. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR:
Seorang paraglider maut selepas payung terjunnya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok setinggi 12.19m di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata mangsa Mohammad Farhad Khalid, 44, dari Subang Jaya, dekat sini, juga tersangkut di atas pokok yang dirempuhnya serta mengalami pendarahan teruk dan patah kaki.

“JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.56 petang tadi dan tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi dan tiba enam minit kemudian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, beberapa Orang Asli yang berada di lokasi kejadian terlebih dahulu memanjat pokok dan mengikat mangsa menggunakan tali daripada payung terjun bagi mengelakkan lelaki itu terjatuh.

Katanya, bomba mengambil dua jam untuk menurunkan mangsa berikutan ketinggian dan lokasi pokok berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.