
Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia (Adpan) dan Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan bantahan di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini. Pemuda MIC turut mengadakan perhimpunan mereka di sana.
Jurucakap LFL berharap kerajaan Malaysia akan campur tangan dan membawa pulang Nagaenthran menerusi program pertukaran tahanan antarabangsa untuk menjalani hukumannya di sini.
“Ini adalah usaha terakhir kami. Kami di sini untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Singapura berhubung pelaksanaan hukuman mati itu. Tolong selamatkan Nagaenthran,” katanya kepada pemberita.
Nagaenthran, 34, yang juga orang kurang upaya dari segi mental, ditahan pada 2009 atas kesalahan menyeludup 42.72g heroin ke republik itu dan dijatuhkan hukuman mati pada tahun berikutnya.
Dipercayai mempunyai IQ 69 – tahap yang diiktiraf kurang upaya – Nagaenthran gagal dalam permohonan pengampunan dan kesnya sejak itu mendapat kritikan meluas, dengan Kesatuan Eropah dan jutawan British, Richard Branson antara pihak yang mengutuk pelaksanaan hukuman mati itu.

Kira-kira 100 ahli Pemuda MIC hadir bersolidariti bersama Nagaenthran sambil melaungkan: “Keadilan, keadilan! Keadilan buat Nagaenthran.”
“Kami merayu presiden Singapura membebaskan Nagaenthran, yang mempunyai IQ rendah. Dia tidak sepatutnya menjalani hukuman mati mengikut standard antarabangsa,” kata Ketua Penerangan MIC, T Thinalan.
Kebanyakan yang hadir memegang plakad tertera “Hentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran”, “Putrajaya selamatkan Nagaenthran” dan “Lindungi OKU, bukan bunuh mereka”.
Protes itu bermula 4 petang tadi dengan kehadiran anggota polis. Himpunan membabitkan 150 orang itu bersurai sejam kemudian.