4 daerah di Terengganu alami gangguan bekalan air menjelang Aidilfitri

4 daerah di Terengganu alami gangguan bekalan air menjelang Aidilfitri

Menurut Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, agihan air berjadual terpaksa dilakukan kerana penggunaan air yang meningkat secara mendadak pada Ramadan kali ini.

86 lokasi sesuai untuk meletakkan tangki statik sebagai alternatif bekalan air tambahan kepada pengguna yang tinggal di kawasan sering terjejas gangguan bekalan air, menurut Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd.
KUALA TERENGGANU:
Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) melaksanakan agihan bekalan air secara berjadual di beberapa kawasan di empat daerah, iaitu Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu bagi meminimumkan gangguan bekalan kepada pengguna terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Karim Endut berkata, langkah itu terpaksa dilakukan kerana penggunaan air yang meningkat secara mendadak pada Ramadan kali ini dan dijangka berterusan sehingga Aidilfitri nanti.

“Bagi memastikan bekalan air sentiasa ada pada waktu siang, Satu telah menutup bekalan antara 12 tengah malam hingga 4.30 pagi kerana kebiasaannya waktu sebegini penggunaan air sangat kurang.

“Ia bagi memastikan paras air di tangki dapat dipenuhkan pada waktu malam seterusnya melancarkan agihan sepanjang waktu siang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Terengganu Incorporated Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Selain itu, Satu juga mengenal pasti 86 lokasi sesuai untuk meletakkan tangki statik sebagai alternatif bekalan air tambahan kepada pengguna yang tinggal di kawasan sering terjejas gangguan bekalan air.

“Air di tangki-tangki ini akan sentiasa ada untuk kegunaan penduduk terjejas. Kita juga akan menggerakkan enam lori tangki ke kawasan terlibat gangguan bekalan air agar orang ramai dapat meneruskan aktiviti musim perayaan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada orang ramai agar memuat turun aplikasi MySATU secara percuma menerusi platform iOS dan Android untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung perkhidmatan air di Terengganu.

“Aplikasi ini akan menyampaikan maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada pengguna termasuk mengenai gangguan bekalan air, ia dapat membantu pengguna lebih bersedia untuk mengambil air di tangki statik berdekatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.