
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata, ketika Malaysia beralih ke fasa endemik, prosedur operasi standard (SOP) mesti dikemas kini secara berkala selaras dengan amalan dunia.
Beliau berkata, beberapa negara, termasuk India, Dubai, UK dan Belanda, telah menghentikan ujian semasa ketibaan, manakala Singapura sedang berusaha untuk menghapuskan ujian untuk pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya.
Tonton video di sini.
Beliau berkata, ujian semasa ketibaan bukan satu keperluan dan perlu dilonggarkan bagi memudahkan urusan perjalanan dan mengurangkan tekanan.
“Jika anda mempunyai terlalu banyak prosedur yang tidak dikemas kini secara berkala, pelancong akhirnya akan menempah percutian mereka di tempat lain dengan keperluan yang lebih ringan,” katanya kepada FMT.
Tan mengakui, bagaimanapun negara Asean secara keseluruhannya terlalu berhati-hati berbanding UK, Kesatuan Eropah, AS dan Australia.
Selain menjalani ujian RTK-Ag secara profesional 24 jam selepas ketibaan, pelancong ke Malaysia mesti memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera dan mempunyai insurans perjalanan berjumlah sekurang-kurangnya USD20,000 untuk rawatan Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng yang tidak bersetuju dengan Tan, berkata, keperluan RTK-Ag adalah satu langkah yang betul.
Tetapi katanya, keperluan itu harus diiklankan dengan baik dan dimaklumkan kepada pelancong dengan segera.
“Setiap pihak berkepentingan memainkan peranan penting dalam berbuat demikian,” katanya.
Yap berkata, keperluan insurans itu penting untuk memastikan pelancong dilindungi sekiranya mereka disahkan positif dan memerlukan rawatan.
Beliau berkata, kurangnya kesedaran, di dalam dan di luar negara, menyebabkan pengembara menghadapi masalah semasa ketibaan.
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah percaya insurans yang mahal akan menghalang pelancong dan pengembara kasual.
“Ia tidak akan menjejaskan pelancong perniagaan, tetapi jika pelancong dihalang, ini bermakna sektor pelancongan masuk tidak akan melihat pemulihan ekonomi yang cepat,” katanya.