
Johan Idris, yang juga rakan kongsi pengurusan KPMG berkata, Najib mahu berjumpa juruaudit syarikat untuk menutup akaun sebelum 31 Dis 2013.
“Kenyataannya itu menyamai arahan kepada saya,” katanya apabila disoal Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan.
KPMG mempersoalkan pelaburan USD2.3 bilion 1MDB dalam Brazen Sky Ltd kerana ia tidak dapat mengesahkan kesahihan pelaburan itu. Ia turut enggan mengesahkan penyata kewangan 2013.
“1MDB menyerahkan laporan daripada Bank BSI mengenai pelaburan Brazen Sky, tetapi ia tidak mencukupi untuk kami mengeluarkan laporan audit mengatakan bahawa penyata kewangannya adalah ‘benar dan saksama’.
“Kami mahukan lebih banyak maklumat mengenai aset asas dalam Brazen Sky kerana pelaburan itu adalah dalam bentuk unit,” katanya.
Johan juga berkata, beliau adalah salah seorang wakil KPMG yang bertemu pegawai 1MDB pada 29 Nov 2013 bagi membincangkan Brazen Sky.
“Pengerusi (1MDB) Che Lodin Wok Kamaruddin bertanya mengapa kami tidak boleh bergantung kepada laporan BSI mengenai Brazen Sky.
“Ketua pasukan libat urus kami, Ahmad Nasri Abdul Wahab, memberitahu (Che Lodin) bahawa sebagai juruaudit, kami tidak boleh hanya bergantung kepada maklumat pihak ketiga dan perlu mengumpul bukti tentang ‘kewujudan, ketepatan, kesempurnaan dan penilaian’ berhubung Brazen Sky,” katanya.
Beliau berkata, ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu, Mohd Hazem Abdul Rahman memaklumkan bahawa pegawai bank BSI Yak Yew Chee sebelum ini telah bertemu Najib untuk menjelaskan pelaburan Brazen Sky.
“Kami meminta 1MDB mengatur pertemuan dengan (Najib) supaya kami dapat mendengar daripadanya sama ada beliau tahu tentang pelaburan itu,” katanya.
Pertemuan di Langgak Duta
Johan berkata, beliau dan dua lagi rakan kongsi KPMG – Raslan Abdul Rahman dan Foong Mun Kong – pergi menemui Najib di rumahnya di Langgak Duta pada 15 Dis 2013.
Namun hanya beliau dibenarkan masuk, manakala Raslan dan Foong terpaksa menunggu di luar.
“Pada pertemuan itu, (Najib) berkata, beliau tahu tentang pelaburan Brazen Sky tetapi 1MDB tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut kerana ia adalah sulit.
“Beliau turut mempersoalkan mengapa KPMG meragui aset asas (Brazen Sky),” katanya.
Johan berkata, beliau memberitahu Najib bahawa “(juruaudit) perlu bukti untuk melengkapkan proses audit seperti yang dikehendaki undang-undang”.
“Jika kami tidak dapat menyelesaikan proses audit, kami akan mengeluarkan ‘penafian pendapat’ terhadap 1MDB.”
Beliau berkata, Najib menyebut beliau ingin melihat akaun 1MDB ditutup pada 31 Dis 2013.
“Saya tidak memberi jawapan pada masa itu,” katanya.
Johan berkata, KPMG tidak dapat menyelesaikan audit itu kerana 1MDB gagal menyerahkan maklumat mengenai Brazen Sky walaupun setelah diminta berulang kali.
“Susulan itu, kami menerima surat daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang memaklumkan bahawa perkhidmatan kami ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.
“Dalam surat itu, kami dimaklumkan bahawa Deloitte akan mengambil alih (tugas),” katanya.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB didakwa berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah diteruskan.