Mudahkan pinjaman perumahan mungkin tambah beban golongan miskin, kerajaan diberitahu

Mudahkan pinjaman perumahan mungkin tambah beban golongan miskin, kerajaan diberitahu

Pelonggaran skim pembiayaan untuk golongan B40 mungkin memburukkan masalah kewangan mereka, kata pakar.

Sebahagian besar hartanah yang tidak terjual terdiri daripada rumah berharga RM300,000 dan ke bawah, menurut Pusat Maklumat Hartanah Negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar dasar awam mengenai perumahan mempersoalkan kebijaksanaan mengkaji semula skim pembiayaan untuk memudahkan pemilikan rumah bagi golongan berpendapatan rendah hanya untuk mengurangkan lambakan hartanah

“Tidak bijak” untuk berbuat demikian, kata Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Suraya Ismail kepada FMT.

Beliau memberi amaran bahawa pelonggaran skim pembiayaan untuk golongan ini mungkin memburukkan masalah kewangan mereka.

Tonton video di sini.

Suraya berkata, pendapatan dan harga rumah bukan satu-satunya penentu kelulusan pinjaman, namun komitmen hutang pembeli juga menjadi faktor utama.

Suraya Ismail.

“Setiap bank perlu melakukan penilaian berhubung faktor ini,” katanya.

“Penolakan permohonan pinjaman mungkin menunjukkan bahawa bakal pembeli mempunyai hutang berlebihan.”

Baru-baru ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengkaji semula model pembiayaannya untuk memudahkan pemilikan rumah bagi kumpulan B40 dan M40. Katanya, ini dapat mengurangkan bilangan hartanah tidak terjual di negara ini.

Dalam laporan baru-baru ini, Pusat Maklumat Hartanah Negara berkata, sebahagian besar hartanah yang tidak terjual terdiri daripada rumah berharga RM300,000 dan ke bawah.

Suraya berkata, julat harga mampu milik yang ditetapkan kerajaan mungkin tidak memenuhi keupayaan kewangan pembeli yang disasarkan.

Katanya, harga rumah perlu ditetapkan mengikut nilai ambang kemampuan penduduk tempatan kawasan tertentu.

“Apabila rumah secara amnya tidak mampu dimiliki, cara untuk memperbaiki keadaan ini harus berdasarkan langkah menjadikan bekalan perumahan lebih kompetitif,” katanya.

Anthony Choo.

“Harga mesti mengikut pendapatan dan permintaan masyarakat tempatan, seperti yang diperhatikan dalam pasaran yang kompetitif.”

Pemaju hartanah yang berpangkalan di Melaka, Anthony Choo mengkritik insentif dan kempen perumahan yang ditawarkan kerajaan seperti kempen pemilikan rumah dengan berkata, ia gagal menangani isu rumah tidak terjual.

Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula dasar semasa yang mengawal insentif ini.

“Adakah insentif dan kempen ini benar-benar membantu pembeli rumah, terutamanya golongan B40?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.