
Pejabat itu berkata, tiada asas terhadap dakwaan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersetuju mempercepatkan kes dua ahli politik itu.
Laporan polis itu dibuat susulan catatan Facebook veteran Umno, Shahrir Samad semalam yang membocorkan minit mesyuarat PAS menunjukkan ketua hakim negara dan Peguam Negara, Idrus Harun didakwa bersetuju untuk mempercepatkan kes membabitkan Najib dan Zahid, serta menjatuhkan hukuman.
Minit mesyuarat itu turut dikatakan menyebut mengenai komplot untuk mengganggu dan mengguling Umno serta Barisan Nasional.
Pejabat ketua pendaftar itu dalam kenyataan berkata, ia telah membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan “konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram” antara pemimpin politik dan ketua hakim negara.
“Ketua hakim negara tidak pernah berkomunikasi dengan, dan/atau dihubungi mana-mana pemimpin politik berhubung kes mahkamah yang melibatkan Najib dan Zahid.
“Kes belum selesai di mahkamah hendaklah berjalan dan diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan oleh ketua hakim negara atau orang lain.”
Pejabat itu menegaskan pihak yang membuat dan menyebarkan tuduhan itu bertujuan memburukkan imej serta menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.
“Selain itu, tuduhan-tuduhan ini bertujuan untuk ‘subvert’ pentadbiran keadilan dari segi perbicaraan kes yang belum selesai terhadap Najib dan Zahid,” katanya.
Najib sedang dibicarakan dalam dua kes berkaitan 1MDB berhubung RM2.28 bilion dimasukkan ke akaun banknya dan pindaan laporan audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Zahid pula menghadapi 87 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Januari lalu, Tengku Maimun dilaporkan berkata, tiada individu mendekatinya secara peribadi untuk campur tangan dalam kes berprofil tinggi yang belum selesai di mahkamah, dan beliau akan menolak sebarang permintaan untuk berbuat demikian.