Tahanan guna kekuatan tenaga pecah pintu depot, kata KP imigresen

Tahanan guna kekuatan tenaga pecah pintu depot, kata KP imigresen

Warga asing terbabit melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang menggunakan kekuatan tenaga.

Anggota unit K9 polis memburu tahanan yang melarikan diri di sebuah ladang di Nibong Tebal. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lebih 500 tahanan Rohingya menggunakan kekerasan untuk keluar dari pusat tahanan di Kedah hari ini, kata Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud.

Tahanan di depot tahanan sementara imigresen Sungai Bakap tidak menggunakan sebarang alat untuk melarikan diri.

Khairul berkata, semua warga asing itu melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang menggunakan kekuatan tenaga.

“Mereka (tahanan) ini hanya ‘bare hand’,” katanya sebagai mengulas pertanyaan mengenai kemungkinan terdapat sebarang peralatan digunakan kumpulan warga asing itu, untuk meloloskan diri dari depot berkenaan.

Beliau berkata, depot tersebut disewa sejak tahun lalu dan boleh menampung kapasiti sehingga 700 orang tahanan, dikawal dengan ketat oleh Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela).

Katanya, terdapat seramai 61 anggota JIM dan 45 anggota Rela ditugaskan di depot berkenaan, dengan seramai 15 anggota ditugaskan untuk mengawal bagi setiap giliran penugasan.

Terdahulu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, melarikan diri dari depot tersebut dalam kejadian awal pagi hari ini.

Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 telah ditemui termasuk enam yang maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan, ketika melintas jalan di Kilometer 168 Plus menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.