
Beliau berkata, suruhanjaya itu dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) perlu tahu punca kumpulan besar tahanan itu melarikan diri.
“EAIC, Suhakam dan UNHCR perlu melakukan penilaian segera. Turun padang, nilai dan pantau keadaan.
“Akses perlu diberikan kepada mereka untuk bercakap dengan tahanan supaya mereka tahu apa yang berlaku. Pihak berkuasa tidak patut campur tangan dalam proses itu atau mengganggu saksi,” kata ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan itu.
Beliau turut membangkitkan isu kesesakan tahanan di depot imigresen yang boleh membawa kepada kejadian melarikan diri.
“Suhakam sudah membangkitkan isu ini beberapa kali sebelum ini. Kerajaan mendakwa depot itu dalam keadaan baik,” katanya kepada FMT.
“Tetapi kami dengar cerita lain daripada tahanan yang mengadu depot terlalu sesak dan kotor. Mereka juga mengadu dipukul.”
Santiago mendakwa ramai daripada mereka berada di pusat tahanan selama dua hingga tiga tahun sementara menunggu dihantar pulang.
Beliau mencadangkan supaya ahli Parlimen lain membangkitkan isu berhubung kejadian tahanan melarikan diri di Parlimen.
Awal pagi tadi, 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah. Terdapat 664 tahanan di depot terbabit ketika itu.
Setakat 10 pagi tadi, 357 daripadanya ditemui semula, termasuk enam yang maut ketika melintas lebuh raya berhampiran.