
Harga minyak yang merosot dan wabak memberi kesan kepada syarikat itu, namun yang paling memberi kesan adalah kegagalan pemegang taruh utama mengambil tindakan tegas untuk menyelamatkannya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022, syarikat itu melaporkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion, antara yang terbesar dalam sejarah syarikat korporat negara.
Di samping itu, pihak tertentu menyebarkan dakwaan mengenai kepentingan terselubung dan kronisme.
Ketika ini timbul persoalan apakah wajar syarikat itu diselamatkan. Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri, Najib Razak, dijangka akan berdebat mengenai masa depan syarikat itu.
Mereka dijadualkan bertembung pada 12 Mei.
SEB, yang ditubuhkan pada Mei 2012 menerusi penggabungan SapuraCrest Petroleum Bhd dan Kencana Petroleum Bhd, berkembang maju lantaran harga minyak yang meninggi, mencecah USD133 se tong pada ketika itu.
Ia menjadi satu-satunya pemain industri minyak dan gas di dunia yang menawarkan perkhidmatan paling menyeluruh, menawarkan khidmatnya kepada syarikat-syarikat minyak dalam bidang penerokaan, pembangunan, pengeluaran, rejuvenasi, dan penyahtauliahan.
SEB mempunyai rekod prestasi di 20 negara – dari Jepun ke serata China, Asia Tenggara, dan India, hingga ke Asia Barat dan beberapa negara Afrika Barat, serta Amerika Latin.
Sepanjang perjalanan itu, syarikat itu membangunkan kecekapan dalam pelbagai bidang sektor perkhidmatan minyak dan gas.
Antara perkhidmatan yang ditawarkannya ialah penggerudian luar pesisir, operasi dan penyelenggaraan, penerokaan dan pengeluaran, serta pemasangan struktur perairan cetek, dalam, dan ‘ultra’ dalam.
Ia menjadi satu-satunya pemain minyak dan gas (O&G) yang menawarkan keseluruhan perkhidmatan yang diperlukan oleh syarikat minyak.
Ia menyaingi pemain besar dunia dalam industri, seperti Technip SA dari Perancis, Saipem SpA (Itali) dan McDermott International, yang berpangkalan di Houston, Texas.
Kemudian semuanya berubah. Kejatuhan menjunam harga minyak menyebabkan syarikat terbabit mengalami kerugian teruk. Masalah itu menjadi bertambah buruk akibat pandemik Covid-19.
Untuk rekod, masalah SEB bukanlah unik. Hakikatnya, kejatuhan mendadak harga minyak meletakkan semua pemain besar dalam kemelut yang sama.
Harga minyak mula jatuh pada pertengahan 2014 dan menjelang Februari 2016, ia turun kepada lebih AS$45 setong. Ia naik pada 2018 tetapi turun semula di bawah AS$25 setong pada Mei 2020.
Kini, harga telah pulih, malah mencecah paras USD100 pada Mac 2022, tetapi wabak Covid-19 yang berterusan memaksa syarikat minyak untuk masih berwaspada.
Seperti kebanyakan penyedia perkhidmatan O&G lain, contohnya, Saipem, McDermott dan syarikat Peranchis-AS, TechnipFMC, SEB turut mengalami kerugian sejak 2016.
Banyak syarikat itu dipaksa untuk membuat penyusunan semula. McDermott melakukan penyusunan semula bawah undang-undang muflis AS, Saipem memohon dana €2 bilion daripada pemegang sahamnya, manakala Technip sedang mengasingkan beberapa asetnya.
Masalah syarikat berkenaan makin bertambah apabila mereka terbabit dalam perang harga, menjadikan keuntungan yang diraih semakin nipis.
Covid-19 membawa satu lagi masalah. Kapal terpaksa diletakkan dalam keadaan bersiap sedia tetapi kru baharu mengambil alih mereka yang terpaksa dikuarantin. Bagi SEB, kos langsung yang ditanggung untuk melaksanakan prosedur ini berjumlah kira-kira RM570 juta.
Langkah pembetulan menjadi satu keperluan wajib. Namun, malangnya, tindakan tegas yang diperlukan itu tidak diambil.