PRU15: Biar Umno-PAS bersaing secara ‘gentlemen’, kata Mohd Amar

PRU15: Biar Umno-PAS bersaing secara ‘gentlemen’, kata Mohd Amar

Naib presiden PAS itu menyambut baik gesaan untuk Umno cawangan tidak menggunakan kempen dan ceramah yang mengguris hati pemimpin serta ahli PAS.

Mohd Amar Nik Abdullah berharap Umno dan PAS bersaing secara ‘gentlemen’ tanpa serangan peribadi pada PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jika Umno berhasrat bertanding secara “solo” dalam pilihan raya umum ke-15, PAS mengharapkan pertandingan “gentlemen” dengan parti itu tanpa serangan peribadi.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menyambut baik kenyataan Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub yang meminta Umno cawangan tidak menggunakan kempen dan ceramah yang mengguris hati pemimpin serta ahli PAS.

“Pendekatan itu wajar disambut baik kerana ia memberi kebaikan terhadap hubungan kedua-dua parti.

“Nasihat itu bagus dan selama ini pun kita tidak kata apa-apa pun kepada Umno, sebaliknya ada pemimpin Umno sebut dalam PAS ada tiga jahanam,” katanya menurut laporan Harakahdaily.

Beliau berkata, PAS sentiasa terbuka jika Umno mahu bersama dalam muafakat yang terjalin sebelum ini demi kepentingan negara pada masa depan.

Pada 16 Mac lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Umno dijangka bergerak secara solo dalam menghadapi PRU15 tanpa bergabung dengan mana-mana gabungan atau perikatan.

Katanya, parti itu sama sekali tidak akan berpakat dengan parti yang disifatkan sebagai bermata keranjang dan bermain pelbagai kolam dengan mengharapkan keuntungan daripada pelbagai pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.