
“Ia adalah pembaziran masa,” katanya kepada FMT.
Lim, yang juga seorang peguam berkata, peperiksaan itu memerlukan hafalan dan kejayaan seseorang calon bergantung kepada seberapa baik calon tersebut dapat memuntahkan semula apa yang dipelajarinya.
“Ia tidak menyiapkan seseorang itu untuk realiti amalan guaman,” katanya.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar semua graduan undang-undang menduduki peperiksaan peguam biasa, tidak kira sama ada mereka daripada universiti awam atau swasta, tempatan atau luar negara.
Beliau berkata, sukatan pelajaran bagi peperiksaan itu mestilah antara lainnya meliputi peraturan tatacara dan amalan menjalankan perbicaraan serta merangka perjanjian korporat.

Kemahiran tersebut, menurut segelintir anggota fraterniti guaman, kurang dimiliki graduan undang-undang.
Bryan Wong, peguam yang lulus peperiksaan CLP tahun lepas, menyokong pendekatan yang lebih pragmatik bagi menyiapkan graduan undang-undang untuk dunia sebenar.
“Peperiksaan CLP tidak memberi kami sebarang kemahiran praktikal,” katanya.
“Kami hanya belajar dengan menghafal undang-undang kes dan menyalin daripada statut.”
Sebagai contoh katanya, beliau mendapati mempelajari cara merangka perjanjian semasa kursus CLP berguna baginya.

Priyenshar Sebastian, yang akan menduduki peperiksaan CLP tahun ini berkata, beliau bimbang pengetahuan yang diperolehnya daripada kursus CLP tidak dapat diguna pakai apabila memasuki tenaga kerja.
“Menduduki peperiksaan bertulis yang sangat besar dan tidak mengikuti perkembangan realiti dunia perundangan tidak membantu bakal peguam mencapai potensi penuh mereka,” katanya.
Bagaimanapun, peguam korporat Aw Yee Chen berkata, pemansuhan peperiksaan CLP hanya akan menjadi penyelesaian mudah kerana graduan universiti awam masih mempunyai kelebihan kerana terdedah kepada undang-undang tempatan semasa pengajian sarjana muda mereka.

Katanya, beberapa kemahiran praktikal boleh dipelajari semasa bekerja.
“Mungkin jawapannya bukan peperiksaan peguam biasa untuk semua, tetapi mengekalkan peperiksaan CLP dan menambah baik kaedah pengajaran supaya kurang sesak, menyediakan bimbingan yang lebih baik dan isi kandungan yang lebih praktikal,” kata Aw, yang lulus peperiksaan CLP dua tahun lepas.
Minggu lepas, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir berkata, graduan undang-undang tempatan dikecualikan daripada menduduki peperiksaan CLP kerana modulnya sudah menjadi sebahagian daripada kursus tahun akhir mereka.
Salim, yang juga pengerusi jawatankuasa yang menyediakan kurikulum, mengakui peperiksaan CLP dilihat terlalu akademik dan memerlukan lebih penekanan mengenai amalan guaman.