Nizar beri keterangan isu jual tanah lapangan terbang esok

Nizar beri keterangan isu jual tanah lapangan terbang esok

ADUN Sungai Rapat sepatutnya memberi keterangan pada 15 April lalu namun tidak dapat hadir.

Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga ADUN Sungai Rapat sepatutnya membuat rakaman percakapan sebagai saksi pada 15 April lalu namun tidak dapat hadir kerana berada di luar negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lagi bekas exco kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak akan memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan isu penjualan tanah tapak cadangan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar, esok.

Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga ADUN Sungai Rapat sepatutnya membuat rakaman percakapan sebagai saksi pada 15 April lalu namun tidak dapat hadir kerana ketika itu berada di luar negeri.

“Memang saya ada dipanggil untuk memberikan keterangan tetapi ketika itu saya ada urusan di Selayang. Insya-Allah, mungkin esok saya akan hadir ke pejabat SPRM Perak untuk memberikan keterangan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Media hari ini melaporkan bekas exco kerajaan Perak ketika pentadbiran PH, Asmuni Awi mengesahkan beliau sudah dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan pada 15 April lalu.

Untuk rekod, Nizar dan Asmuni adalah bekas ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Sebelum ini media melaporkan, seramai 13 saksi sudah dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan kes itu, namun tiada individu ditahan berkaitan penjualan tanah berkenaan setakat ini.

Isu penjualan tanah berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad kemudian memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.