
ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah kira-kira jam 12.13 pagi pada 14 Jan lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1))(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000.
Bagaimanapun, peguamnya Ramkarpal Singh memohon supaya jumlah itu dikurangkan memandangkan Naidu memberikan kerjasama kepada polis sejak hari pertama penahanannya.
Beliau turut meminta mahkamah mempertimbangkan bahawa anak guamnya juga seorang peguam dan ADUN yang perlu berkhidmat kepada pengundinya, selain menambah bahawa Naidu bukan berisiko untuk melarikan diri.
Manakala seorang lagi peguamnya RSN Rayer turut memohon majistret memerintahkan polis supaya tidak menggari Naidu sebaik jaminan ditetapkan mengikut prosedur mahkamah. Dia juga memohon anak guamnya ditempatkan di galeri awam, bukan di sel tahanan mahkamah.
Katanya, mahkamah perlu mempertimbangkan permintaan itu memandangkan Naidu melaporkan diri kepada polis Bukit Mertajam setiap bulan seperti dinyatakan dalam jaminan polis yang diberikan kepadanya awal tahun ini.
Nurul Rasyidah kemudian membenarkan permintaan Rayer dan menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 17 Mei sebagai tarikh pengurusan kes.
Pada sidang media selepas itu, Ramkarpal berkata, Naidu mempunyai peluang baik dalam kes berkenaan kerana anak guamnya terus mendapatkan laporan makmal yang membuktikan dia negatif dadah.