171 tahanan Rohingya masih lolos, polis buat sekatan jalan

171 tahanan Rohingya masih lolos, polis buat sekatan jalan

Polis berkata, kumpulan tahanan Rohingya itu yang semuanya berkaki ayam, dipercayai sedang menghala selatan ke arah Perak.

Polis mengadakan sekatan jalan di kawasan Nibong Tebal bagi mengesan baki 171 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Kedah awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis berkata, 171 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari sebuah depot imigresen di Kedah awal pagi tadi masih bebas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Shuhaily Zain berkata, kumpulan itu yang semuanya berkaki ayam, dipercayai sedang menghala selatan ke arah Perak.

Katanya, kumpulan itu mungkin kelaparan dan mengetuk pintu untuk meminta makanan kerana mereka melarikan diri sejak 4 pagi tadi.

Tonton video di sini.

Oleh itu beliau menggesa orang ramai yang mengesan tahanan Rohingya terbabit supaya memujuk mereka menyerah diri kepada polis atau menghubungi 999.

Beliau berkata, tiga sekatan jalan raya (SJR) diadakan di sempadan bahagian Pulau Pinang dan lebih banyak lagi SJR akan diadakan di Kedah serta Perak.

Seramai 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah kira-kira 4.30 pagi tadi. Terdapat 664 tahanan di depot terbabit ketika itu.

Setakat 10 pagi tadi, 357 daripadanya ditemui dan ditahan semula, termasuk enam yang maut ketika melintas lebuh raya berhampiran.

Shuhaily berkata, antara tahanan yang melarikan diri itu ialah kanak-kanak berusia setahun, selain terdapat golongan tua dan kelihatan lemah.

“Sebahagian daripada tahanan yang ditahan semula itu memberitahu kami, mereka menunggu untuk dihantar pulang.

“Mereka berkata, mereka hanya mengikut yang lain dan tidak tahu ke mana arah tuju mereka,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad dilaporkan berkata, kejadian melarikan diri dari depot imigresen itu mungkin disebabkan “ketegangan” antara kumpulan berasingan dalam kalangan tahanan. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 dan 224 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melarikan diri daripada tahanan sah, serta Seksyen 223 atas kecuaian pegawai dalam membenarkan tahanan melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.