Syarikat dilapor terlibat aktiviti buruh paksa tiada kesatuan pekerja, kata MTUC

Syarikat dilapor terlibat aktiviti buruh paksa tiada kesatuan pekerja, kata MTUC

Kerajaan perlu mewajibkan syarikat mempunyai kesatuan pekerja, kata Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor.

Bulan lepas, Suhakam mendedahkan bahawa lapan daripada 1,000 pekerja dalam industri kelapa sawit menjadi buruh paksa.
PETALING JAYA:
Kebanyakan syarikat yang dilaporkan terlibat dalam aktiviti buruh paksa tidak mempunyai kesatuan pekerja, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan perlu mewajibkan syarikat mempunyai kesatuan pekerja.

“Dasar baharu ini akan membantu kerajaan menyelesaikan isu buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.

Kamarul menjelaskan, kesatuan pekerja boleh menjadi “telinga dan mata” kerajaan dengan melakukan pemeriksaan sendiri ke atas syarikat itu.

“Dasar ini selaras dengan ratifikasi kerajaan terhadap Konvensyen 98 (C98) Pertubuhan Buruh Antarabangsa, iaitu (berhubung) hak berorganisasi dan perjanjian bersama,” katanya.

MTUC turut menggesa Kementerian Sumber Manusia menambah bilangan pegawainya kerana mustahil 400 pegawai yang ada mampu memeriksa setiap syarikat yang mengambil pekerja asing.

Tegasnya, kelewatan kementerian menyiasat isu buruh paksa mengakibatkan penutupan kilang dan pemberhentian pekerja.

“Malang bagi pekerja yang diberhentikan kerana syarikat ditutup atas sebab sekatan barangan,” katanya.

“Kerajaan perlu mengambil langkah drastik dengan mendakwa syarikat dan memenjarakan pengarah syarikat atas kesalahan buruh paksa.”

Bulan lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendedahkan bahawa lapan daripada 1,000 pekerja dalam industri kelapa sawit menjadi buruh paksa.

Terbaru, syarikat konfeksionari utama Itali, Ferrero bercadang menghentikan pembelian sumber minyak sawit daripada Sime Darby Plantation Bhd selepas Amerika Syarikat mendakwa syarikat Malaysia menggunakan buruh paksa.

Bagaimanapun, Sime Darby dalam kenyataannya berkata, Ferrero sudah lama tidak menjadi pelanggannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.