Ramai guru pilih bersara awal, Tok Mat gesa kerajaan campur tangan

Ramai guru pilih bersara awal, Tok Mat gesa kerajaan campur tangan

Jika dibiarkan berterusan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal, kata Timbalan Presiden Umno itu.

Mohamad Hassan menggesa kerajaan campur tangan bagi mengelakkan negara kehilangan guru berpengalaman.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menzahirkan kebimbangan mengenai trend guru yang memilih untuk bersara awal dan menggesa kerajaan campur tangan bagi mengelakkan krisis pendidikan di negara ini.

Ini susulan anggaran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa lebih 10,000 guru membuat pilihan persaraan awal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mohamad berkata, jumlah yang didedahkan NUTP itu jauh melebihi angka yang didedahkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai persaraan pilihan.

Menurut KPM, ia menerima 4,360 permohonan persaraan pilihan setakat November lepas.

“Jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka ‘trend’ bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan.

“KPM wajar tampil menjelaskan angka sebenar dan menjelaskan dengan terperinci kegusaran NUTP itu,” kata Mohamad.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa wabak Covid-19 mungkin menyumbang kepada trend ini, selain bebanan kerja perkeranian yang mengganggu tugas hakiki mereka.

Beliau menggesa kerajaan campur tangan bagi mengelakkan negara kehilangan guru berpengalaman.

“Sekiranya berlanjutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal. Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.