
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Shahurinain Jais, berkata dakwaan tular di media sosial itu palsu kerana kadar jenayah indeks semasa di negeri itu tidak menunjukkan peningkatan.
Katanya, kadar jenayah indeks di Johor bagi tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu 22.16% atau 339 kes, dengan purata 11 kes jenayah sehari.
“Jenayah harta benda turun 22.55%, manakala jenayah kekerasan turun sebanyak 20.54% dengan kadar penyelesaian kes di Johor sebanyak 44%.
“Secara keseluruhannya, kedudukan jenayah indeks di Johor masih terkawal,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, JSJ giat melancarkan pelbagai operasi dan aktiviti pencegahan jenayah secara agresif, termasuk membanteras kegiatan hiburan, perjudian dan maksiat di negeri itu, susulan pembukaan semula sempadan dan sebagai persediaan menghadapi musim perayaan.
“Ini demi memastikan Johor bebas daripada jenayah, selamat didiami dan dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.”