Muda tak beri impak besar di Sabah, kata penganalisis

Muda tak beri impak besar di Sabah, kata penganalisis

Penganalisis berkata sekiranya Muda membuat keputusan untuk bertanding di Sabah pada PRU15, ia hanya bergantung atas ihsan Warisan.

Syed Saddiq (berdiri tengah) ketika berucap sempena program mesyuarat ‘townhall’ Muda Sabah yang diadakan di Kota Kinabalu pada Ahad lalu.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat kewujudan parti Muda di Sabah tidak akan memberi impak yang terlalu besar kepada landskap politik di negeri ini.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, sekiranya Muda membuat keputusan untuk bertanding di Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, mereka akan bergantung atas kerjasama dengan Warisan, itupun jika ia berlaku.

“Jika inilah yang berlaku (Muda bertanding di Sabah), ia hanya bergantung kepada ihsan Warisan untuk ‘survive’ dan diterima rakyat sabah.

Tonton video di sini.

“Pada masa sama, Warisan juga berdepan dengan krisis sokongan kerana terdapat beberapa wakil rakyat Sabah yang lompat parti. Jadi impak Muda di Sabah tidaklah terlalu besar dan hanya bergantung kepada ihsan parti Warisan yang turut cuba memulihkan sokongan dan meraih sokongan pengundi Sabah.

Awang Azman Pawi.

“Sekiranya Muda bertanding juga, kerusi yang ideal bagi mereka ialah di kerusi yang pernah dimenangi Warisan pada PRU lalu,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi penganalisis, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, antara cabaran yang bakal dihadapi Muda adalah penerimaan dan keyakinan rakyat negeri itu sama ada mereka boleh melaksanakan perubahan merangkumi aspek politik, sosial, pembangunan dan ekonomi.

Tony Paridi Bagang.

Bagaimanapun katanya, Muda yang dipimpin Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin boleh menarik golongan pengundi muda yang pragmatik kerana parti itu cuba membawa ideologi politik “baharu” dan menjangkaui politik lama.

“Namun ia masih terlalu awal untuk dinilai mengenai sejauh mana dan sebesar manakah golongan ini akan beralih sokongan kepada Muda.

“Pelbagai faktor perlu diambil kira, iaitu sentimen rakyat luar bandar, politik penaungan yang masih tebal serta identiti politik yang semakin dominan.

Lee Kuok Tiung.

“Dalam pada itu, tidak menghairankan jika Muda akan menjalin hubungan atau mewujudkan pakatan politik dengan blok politik yang lain untuk menembusi landskap politik Sabah, seterusnya diterima oleh rakyat negeri ini,” katanya.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berkata, Muda tidak harus memikirkan kerjasama hanya dengan Warisan sahaja, sebaliknya perlu juga mendekati semua sekutu parti yang dipimpin Shafie Apdal itu.

“Pokok pangkalnya, Muda baru mahu bertapak di Sabah dan tiada pengaruh di negeri ini melainkan beberapa orang di kawasan yang disebut beliau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.