Fokus pemilihan, tak perlu sibuk ramal masa depan Selangor, PKR negeri bidas Rafizi

Fokus pemilihan, tak perlu sibuk ramal masa depan Selangor, PKR negeri bidas Rafizi

Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar meminta Rafizi Ramli tumpu kepada kempennya untuk bertanding timbalan presiden pada pemilihan parti.

Berhubung pendekatan khemah besar, Halimey Abu Bakar berkata, Rafizi Ramli tidak berhak menentukan keputusan yang perlu dibuat oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli diminta memberi fokus kepada kempen pemilihan parti, bukannya sibuk meramalkan masa depan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, kata Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar.

Beliau berkata, kenyataan Rafizi bahawa tidak mudah kepimpinan bagi PH dan PKR Selangor mengekalkan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) adalah ibarat memperkecilkan usaha keras pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari dalam memberi khidmat terbaik pada rakyat.

“Yang duduk dalam Jemaah Menteri kerajaan negeri… kami yang diamanahkan, kami tahulah, kami yang berusaha keras untuk memastikan kerajaan negeri kekal dalam PRU akan datang. Kami yang faham.

Tonton video di sini.

“Saya harap Rafizi tumpukanlah kempen dia untuk bertanding timbalan presiden (PKR)… tentang kerajaan negeri, itu tanggungjawab kami yang menjaganya,” katanya kepada FMT.

Berucap di hadapan ahli PKR sempena kempen pemilihan parti 2022 semalam, Rafizi berkata, sekiranya kepimpinan PKR tidak bertindak terhadap isyarat dari Johor dan tiga lagi pilihan raya negeri PRN – Sabah, Melaka dan Sarawak – kemungkinan besar parti itu akan kehilangan Selangor pada PRU15.

Rafizi turut memberi amaran kepada pemimpin PH Selangor yang mempunyai jawatan supaya bersedia untuk hilang kedudukan itu dalam tempoh tiga atau empat bulan dari sekarang.

Mengulas lanjut, Halimey berkata, Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu majlis baru-baru ini mengakui kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua itu antara yang terbaik.

Justeru katanya, beliau yakin gerak kerja yang dipimpin Amirudin mampu mengekalkan Selangor untuk penggal keempat.

“Di Selangor, insyaAllah kita boleh kekalkan tetapi dengan syarat semua kena buat kerja. Kalau dulu kita buat kerja sekali ganda, tapi kali ini kita kena buat kerja dua kali ganda sebab rakyat akan lihat apa yang kita boleh bantu mereka,” katanya.

Walaupun mengakui perjalanan PKR dan PH pada kali ini lebih berliku berbanding pilihan raya sebelumnya, Halimey yang juga Adun Seri Setia berkata, PH akan mendapat manfaat sekiranya Akta Anti-Lompat Parti diluluskan sebelum PRU15.

“Selagi Akta Anti-Lompat Parti tidak diluluskan, selagi itu rakyat tak keluar mengundi. Maknanya rakyat sendiri tak letak kepercayaan kepada calon sebab mereka rasa kalau calon ini menang mereka boleh lompat.

“Pada PRU akan datang, kalau akta ini diluluskan insyaAllah rakyat akan keluar undi kerana yakin dan percaya dengan PH terutama di Selangor,” katanya.

Mengenai pendekatan khemah besar, beliau berkata, Rafizi tidak berhak untuk menentukan keputusan yang perlu dibuat oleh kepimpinan tertinggi PH.

“Kita atas arahan presiden (Anwar), presiden bersama pimpinan PH yang buat keputusan untuk adakan khemah besar atau tak, bukan Rafizi yang buat keputusan. Kalau Rafizi menang (timbalan presiden) sekali pun, bukan kuasa dia nak tentukan khemah besar atau khemah kecil, presiden PKR yang tentukan,” tegasnya.

Pada pemilihan PKR 2022/2025 Mei ini, Rafizi berdepan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail untuk merebut jawatan nombor dua parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.