Pekerja tempatan paling terkesan apabila hotel dikecuali bayar gaji minimum, kata kesatuan

Pekerja tempatan paling terkesan apabila hotel dikecuali bayar gaji minimum, kata kesatuan

Dua set gaji minimum berbeza akan mendorong para pekerja berpindah ke sektor lain dan ini akan membantutkan pemulihan industri, kata MTUC.

Gaji minimum baharu bagi pekerja sebanyak RM1,500 sebulan akan dilaksanakan mulai 1 Mei, namun hotel akan dikecualikan buat sementara waktu.
PETALING JAYA:
Pekerja tempatan akan menjadi golongan paling terjejas akibat pengecualian sementara bagi hotel daripada syarat membayar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan, kata sebuah kesatuan pekerja.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar & Restoran Semenanjung Rusli Affandi berkata, Putrajaya melakukan kesilapan.

Katanya, pengecualian itu bersifat regresif, susulan lapan tahun perjuangan kesatuan itu untuk mendapatkan gaji minimum bagi pekerja hotel.

Majoriti pekerja hotel terdiri daripada rakyat Malaysia dan mereka akan menjadi golongan paling terkesan dengan pengecualian itu, tambahnya.

Dasar gaji minimum dikenakan ke atas hotel melalui keputusan Mahkamah Perusahaan pada 2004. Gaji minimum ketika itu adalah RM900 bagi Semenanjung dan RM800 bagi Sabah dan Sarawak.

Gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 sebulan akan dilaksanakan mulai 1 Mei. Bagaimanapun, ladang, hotel dan syarikat pelancongan, serta firma yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, akan dikecualikan buat sementara waktu, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada Rabu.

Dasar baharu itu akan mengecualikan sektor tidak formal dan mereka yang mengalami kerugian akibat wabak Covid-19, katanya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberitahu FMT, tidak boleh wujud dua set gaji minimum berbeza jika kerajaan mahu semua industri pulih dengan baik.

“Pengecualian sektor hotel dan pelancongan daripada gaji minimum baharu mungkin mendorong para pekerja berpindah ke sektor lain, sekali gus menyukarkan kedua-dua sektor ini untuk pulih,” kata Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani.

Effendy menggesa kerajaan untuk terlibat urus dengan semua sektor, mendakwa komunikasi daripada menteri sumber manusia mengenai pelaksanaan gaji minimum baharu bersifat sepihak.

Dalam kenyataan berasingan baru-baru ini, MTUC berkata, ia akan menunggu kerajaan mewartakan perintah gaji minimum baharu itu sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Jika pengecualian itu dilaksanakan, MTUC berhak mengambil tindakan,” kata Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.