
Dua kumpulan dagangan dilaporkan baru-baru ini mengadu bahawa syarikat minyak negara itu memperoleh berbilion-bilion dengan mengorbankan margin syarikat minyak dan gas.
Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) dan Persatuan OSV Malaysia, telah menulis kepada Petronas mengenai perkara itu, lapor The Edge.
“Petronas mesti lebih menyokong syarikat-syarikat ini, terutamanya apabila ia menikmati keuntungan besar,” kata Barjoyai Bardai, pakar ekonomi dan kewangan dengan Universiti Tun Abdul Razak.
“Saya faham mengapa Petronas mungkin mahu menjadi lebih ‘berorientasikan perniagaan’, memandangkan mereka terpaksa membayar dividen lebih besar kepada Putrajaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya berikutan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan,” katanya kepada FMT.
Petronas dilaporkan memperoleh RM48.6 bilion keuntungan selepas cukai pada 2021, dengan hasil RM248 bilion.
Harga minyak global melepasi paras USD120 setong bulan lepas.
Barjoyai berkata, Petronas harus mengambil alih Sapura Energy Bhd yang sedang tenat untuk melindunginya daripada muflis, seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Petronas sebelum ini menafikan mengadakan sebarang rundingan dengan kerajaan untuk mengambil alih syarikat itu.
Barjoyai berkata, Petronas tidak seharusnya melihat pengambilalihan itu sebagai beban, tetapi sebagai peluang untuk berkembang.
“Sapura mempunyai banyak keupayaan dalam industri. Ia adalah sebuah syarikat yang unik. Ya, mereka kini ada hutang tetapi Sapura mampu memulihkan keadaan,” katanya.
Sapura Energy mengumumkan kerugian RM8.9 bilion tahun lepas dan menghadapi masalah aliran tunai berikutan kehilangan hasil semasa wabak.
FMT telah menghubungi MOGSC dan Persatuan OSV Malaysia bagi mendapatkan komen.