
Mohamed Khairuzzaman berkata, beliau berdepan dakwaan “yang direka-reka”, yang menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bangladesh menuduhnya mengumpul 15 juta taka Bangladesh (RM730,000) secara haram semasa berkhidmat di Malaysia dari 2007 hingga 2009.
Beliau mendakwa, pihak berkuasa di Bangladesh mungkin akan mendapatinya bersalah secara in absentia untuk cuba mengekstradisinya.
“Idea rejim semasa adalah untuk bawa saya pulang, kemudian buat apa yang mereka mahu kerana dunia tidak akan menonton,” katanya.
“Apabila ini terjadi, nyawa saya akan terancam semula. Saya takut saya akan menjadi mangsa kehilangan paksa seperti yang kerap berlaku kepada pesaing politik di Bangladesh.”
Khairuzzaman ditahan oleh Imigresen Malaysia pada Februari atas alasan beliau tidak mempunyai dokumen yang sah, walaupun setelah menunjukkan bukti bahawa beliau diiktiraf sebagai pelarian oleh agensi pelarian PBB.
Beliau dibebaskan seminggu kemudian susulan tekanan antarabangsa dan permohonan habeas corpus.
Kes habeas corpus akan dibicarakan pada Mei, dan hakim memberi amaran kepada pihak berkuasa agar tidak menghantarnya pulang sebelum itu.
Khairuzzaman berkata, beliau sedang merayu kepada kerajaan Malaysia dan asing, pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan dan global untuk mengambil tahu tentang satu lagi percubaan Bangladesh untuk membawanya pulang dengan mencipta kes palsu.
Media Bangladesh melaporkan, agensi antirasuah Bangladesh mendakwa siasatan membuktikan bahawa Khairuzzaman mengumpul kekayaan melalui penyalahgunaan kuasa.
Khairuzzaman, yang juga bekas pegawai tentera Bangladesh, diarah pulang pada 2009 selepas Liga Awami mengambil alih kuasa. Bagaimanapun, beliau terus menetap di Malaysia sebagai pelarian UNHCR selepas mendakwa nyawanya terancam jika pulang.
Menurut laporan berita, selepas Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada kes pembunuhan dalam penjara pada 2004, kerajaan memohon kepada Mahkamah Agung tujuh tahun kemudian agar perbicaraan semula diadakan.
Bagaimanapun, mahkamah tertinggi menolak rayuan itu dengan berkata, ia tidak menemui sebarang sebab untuk mengadakan perbicaraan semula berdasarkan prosiding Mahkamah Tinggi yang menyaksikan 60 saksi memberi keterangan. Kerajaan ketika itu, yang kini masih berkuasa, menarik balik rayuan itu.