
Bagaimanapun katanya, ia tidak menemui bukti bahawa pastor itu dan isterinya diculik oleh “ejen kerajaan”.
Pesuruhjaya Suhakam Mohd Hishamudin Yunus yang mempengerusikan inkuiri itu berkata, kehilangan mereka diakibatkan oleh “satu atau lebih orang yang tidak dikenali dengan persetujuan pihak berkuasa”.
“Kehilangan tanpa rela mereka melanggar undang-undang Malaysia,” kata bekas hakim itu ketika menyampaikan keputusan inkuiri hari ini.
“Bagaimanapun (walaupun) kita tidak menemui bukti bahawa mereka diculik oleh ejen kerajaan, namun pihak berkuasa gagal menyiasat kes itu secara tekun dan serius (dan) telah membantutkan perkembangan (siasatan),” katanya.
Joshua, seorang pastor berbangsa Melayu, dan isterinya Ruth, seorang warga Indonesia, kali terakhir dilihat pada 30 Nov 2016 di rumah mereka di Petaling Jaya.
Hishamudin menegaskan bahawa polis gagal mengutamakan kes orang hilang seperti Joshua dan Ruth, dan tidak meneliti kes pasangan itu.
“IO (pegawai penyiasat) memberi keterangan bahawa Joshua telah disiasat atas tuduhan menghasut kerana menghina Nabi Muhammad di Facebook pada 2014. Kumpulan-kumpulan seperti Perkasa telah membuat laporan terhadapnya.
“Kami mengambil perhatian bahawa tiada usaha oleh IO untuk menyemak semula catatan Facebook itu, yang kami dapati pelik kerana polis sepatutnya menyiasatnya untuk mencari sebarang petunjuk yang mungkin berguna berhubung kehilangan pasangan itu.
“Walaupun terdapat maklumat berkaitan ditemui pada peringkat awal, ia tidak dipandang serius oleh polis dan tiada amaran bahaya dicetuskan.
“Kami berpandangan bahawa kurangnya minat dan keseriusan polis dalam menghargai keterukan kes itu, menganggapnya sebagai kes biasa, mencerminkan kegagalan polis untuk mengutamakan kes itu,” katanya.
Hishamudin turut mengkritik kelewatan polis dalam memulakan siasatan.
“Rakan pasangan itu, Peter Pormannan membuat laporan di balai polis Klang pada Mac 2017 selepas gagal menemui mereka.
“IO hanya merekodkan kenyataan Peter sebulan kemudian. Sebagai seorang IO yang bertanggungjawab, penting untuk beliau bertindak segera pada peringkat awal untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat,” katanya.
Panel itu juga mendapati bahawa polis cuba “memendamkan” kes Joshua dan Ruth daripada kedutaan Indonesia.
“Menurut keterangan adik Ruth, Imam Sitepu, IO memberitahunya supaya tidak melaporkan kehilangan Ruth kepada kedutaan.
“Kami berpendapat, IO cuba memendamkan kes ini daripada pengetahuan agensi lain dan orang ramai,” tambah Hishamudin.
Katanya lagi, polis tidak pernah mengemas kini status siasatan dengan keluarga Ruth, seperti yang dikehendaki bawah Kanun Tatacara Jenayah.
“Walaupun Iman tidak membuat permintaan khusus, menjadi tanggungjawab polis untuk memaklumkan perkembangan (siasatan) kepada keluarga,” kata Hishamudin.
Hishamudin dibantu pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma dalam inkuiri itu, yang diadakan dari 10 Feb 2020 hingga 22 Jan tahun ini, membabitkan 26 saksi.