Tempahan hotel masih perlahan sejak pembukaan sempadan, kata persatuan

Tempahan hotel masih perlahan sejak pembukaan sempadan, kata persatuan

Persatuan Hotel Malaysia berkata hotel masih belum merekodkan peningkatan ketara dari segi kadar penginapan sejak peralihan ke fasa endemik 1 April lalu.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata, banyak hotel yang ditutup akibat pandemik telah dibuka semula dan ia akan mengambil masa untuk pulih.
PETALING JAYA:
Biarpun pembukaan semula sempadan dan kelonggaran sekatan Covid-19 dikatakan memainkan peranan penting untuk meningkatkan industri pelancongan dan perhotelan, namun pengusaha hotel melihat perniagaan itu masih lagi perlahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, hotel masih belum merekodkan peningkatan ketara dari segi kadar penginapan sejak peralihan ke fasa endemik pada 1 April walaupun kini terdapat lebih ramai pelanggan dari Singapura dan Indonesia.

“Sebelum 1 April, purata penginapan berada pada sekitar 30% hingga 40%, yang berubah-ubah antara waktu puncak hujung minggu dan cuti serta hari bekerja dengan destinasi domestik popular menunjukkan prestasi lebih baik berbanding yang lain.

“Kami berharap kadar penginapan berada pada paras antara 50% dan 60% menjelang suku ketiga tahun ini,” katanya kepada FMT.

Yap berkata, industri masih berdepan masalah kekurangan pekerja manakala ramai pemilik hotel perlu memulihkan kerugian yang ditanggung sejak dua tahun lalu akibat pandemik dan sekatan penuh.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan hotel yang ditutup ketika pandemik telah dibuka semula manakala sebahagiannya lagi masih diubah suai dengan jangkaan perniagaan akan kembali sibuk.

“Hotel yang masih belum dibuka semula di Kuala Lumpur, Langkawi dan beberapa destinasi popular seperti Pulau Pinang dan Sabah kini dijadualkan untuk memasuki semula pasaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kita juga melihat peningkatan dari segi minat hotel untuk membuat pelaburan,” katanya.

Namun keadaan berbeza bagi hotel bajet.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Emmy Suraya Hussein berkata, sebilangan ahli persatuan terpaksa menutup operasi sama ada secara sementara atau kekal, malah ada yang terpaksa menjual perniagaan mereka.

“Walaupun hotel boleh dibuka semula dan beroperasi, halangan kami ialah masalah pekerja.

“Ramai yang keluar disebabkan cuti tanpa gaji tidak berhasrat untuk kembali ke jawatan lama mereka dan ada yang sudah selesa dengan apa yang dilakukan sekarang,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.