
Bercakap kepada FMT, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil, berkata butiran lanjut akan didedahkan pada sidang media yang akan dihoskannya bersama Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Ahad ini.
“Kami dah memuktamadkan tarikh hari ini. Saya dah bercakap dengan Fahmi sebentar tadi, dan kami akan adakan sidang media bersama… Saya rasa pada Ahad,” katanya.
Isham berkata demikian ketika ditanya butiran lanjut debat antara Anwar dan Najib.
“Kita akan dedahkan lebih banyak butiran nanti. Selepas sidang media, kita akan buka pertanyaan soalan kepada media untuk tanya soalan,” katanya.
Isham bagaimanapun, berkata tidak pasti sama ada Anwar dan Najib akan menghadiri sidang media itu.
Sebelum ini, Anwar dan Najib telah bersetuju untuk berdebat mengenai isu tersebut.
Pada 12 Apr, Anwar disindir tidak menghormati Ramadhan susulan kesediaannya untuk berdebat dalam masa terdekat.
Bagaimanapun Anwar, berkata cabaran untuk diadakan debat pada Ramadhan dimulakan oleh Najib terlebih dahulu.
Anwar juga meminta agar debat itu diadakan secara langsung di stesen television supaya maklumat terus sampai kepada rakyat.