
“Polis perlu menyiasat sama ada membenarkan kanak-kanak di bawah umur menaiki basikal lajak di lebuh raya pada awal pagi adalah kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak kerana mendedahkan anak mereka kepada bahaya yang dijangka,” katanya dalam kenyataan.
Boo turut membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan gambar di media sosial bekas menteri belia dan sukan itu bersama sekumpulan pelumba basikal lajak, tiga tahun lalu.
Beliau berkata, sebarang pendekatan populis yang diambil oleh ahli politik tidak akan menghantar mesej yang tepat bagi membimbing “remaja kurang pengetahuan”.
Boo berkata, Syed Saddiq telah menghantar mesej sokongan yang salah susulan tampil dengan gambar tersenyum lebar bersama penunggang basikal lajak.
“Basikal lajak bukan sahaja menyalahi undang-undang dan berbahaya, tetapi ia menunjukkan sikap tidak berdisiplin remaja kita, kegagalan sistem pendidikan kita dan perpecahan nilai masyarakat kita,” kata Boo.
Rabu lalu, seorang kerani dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bahru kerana memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja menunggang basikal lajak, lima tahun lalu.
Sam Ke Ting, 27, diperintahkan menjalani hukuman penjara enam tambahan enam bulan jika gagal membayar denda, dan hilang kelayakan memandu selama tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta sebaik dia menamatkan hukuman penjaranya.
Semalam, Sam memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.
Peguam Nor Zabetha Muhammad Nor sebelum ini berkata, ibu bapa dan penjaga perlu lebih bertanggungjawab dalam soal kebajikan anak termasuk memantau aktiviti mereka terutama pada lewat malam.
Beliau berkata, ia penting dalam soal keselamatan kanak-kanak di bawah umur, selain menambah bahawa sebarang pengabaian sedemikian harus dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak.