‘Hantaran fitnah Najib jelas merujuk kepada saya dan anak perempuan saya’, kata Dzulkefly

‘Hantaran fitnah Najib jelas merujuk kepada saya dan anak perempuan saya’, kata Dzulkefly

Bekas menteri kesihatan berkata Najib Razak hanya membuat penafian kosong bagi melepaskan dirinya.

Dzulkefly Ahmad berkata, tangkap layar yang dibuat Najib Razak mengandungi nama, foto dan penerangan dirinya sebagai menteri kesihatan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad yang membuat saman fitnah terhadap Najib Razak, berkata hantaran dimuatnaik Najib dalam akaun Facebook jelas merujuk kepada dirinya dan anak perempuannya, Nurul Iman.

Hantaran dibuat bekas perdana menteri itu dikatakan merujuk kepada Nurul yang dilantik sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah dalam Amanah Ikhtiar Malaysia, pada 2018.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata hantaran itu menuduhnya mengamalkan nepotisme disifatkan tidak benar dan Najib kini melakukan penafian kosong berhubung isu berkenaan selepas kronologi penuh kejadian itu didedahkan.

“Fakta ini dalam pengetahuan defendan (Najib) yang juga bekas perdana menteri,” katanya dalam pernyataan balas terhadap pembelaan Najib yang difailkan, bulan lalu.

Hantara Facebook Najib itu turut dikepilkan bersama tangkap layar daripada Sinar Harian (diterbitkan pada 28 Jan – 19 bulan sebelum membuat hantaran di Facebook), dengan Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tindakannya untuk membenarkan orang awam mengkaji secara adil berhubung isu berkenaan.

Dzulkefly, dalam pernyataan balas itu, berkata tangkap layar yang mengandungi namanya, foto dan penerangan dirinya sebagai menteri kesihatan – kesemuannya secara jelas merujuk kepada dirinya.

“Plaintif merayu bahawa dakwaan Najib adalah satu pemikiran selepas itu bagi menutup kesalahannya,” kata Dzulkefly.

Pihak plaintif berkata, dakwaan Najib mengatakan beliau hanya merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) dalam hantaran berkenaan disifatkan sebagai tidak berasas kerana Dzulkefly dan gabungan itu berkaitan dan sepatutnya dilihat sebagai secara kolektif.

Katanya, Najib memfitnahnya seperti mana artikel dilaporkan Sinar Harian berhubung pelantikan Nurul tiada kaitan dengannya (Dzulkefly).

“Pembelaan secara sengaja memutar belit dan memusingkan artikel itu untuk mewujudkan gambaran plaintif melakukan salah laku terhadap dirinya, demi mencemarkan nama baiknya,” katanya.

Dzulkefly berkata, kelakuan defendan digerakkan dengan niat jahat bertujuan menjatuhkan reputasi dirinya di mata orang ramai.

“Beliau bertindak secara melulu, tidak berperasaan tanpa provokasi,” tambahnya.

Dzulkefly berkata, Najib tidak berhak mendapat pembelaan justifikasi, perlindungan bersyarat dan komen berpatutan kerana beliau tidak melakukan semakan fakta sebelum menerbitkan hantarannya.

Sebelum ini, Najib berkata, beliau tidak berniat memfitnah Dzulkefly dalam hantaran dibuat, pada 14 Ogos 2020.

Najib berkata, hantaran itu dibuat untuk menggariskan “hipokrasi” gabungan PH yang menuduh berlakunya nepotisme dan kronisme dalam pelantikan politik terhadap gabungan politik membabitkan dirinya.

Ia merujuk kepada (kritikan terhadap) pelantikan pelbagai jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun faktanya ketika PH menjadi kerajaan (bermula Mei 2018 hingga Feb 2020), gabungan itu juga melakukan kaedah pelantikan hampir sama, tambah Najib dalam pernyataannya.

Dzulkefly memfailkan saman berkenaan, pada 31 Dis tahun lalu. Beliau mendakwa pelantikan Nurul sudah dibuat sebelum beliau dilantik sebagai menteri kesihatan dalam kerajaan PH dan anaknya itu dilantik semula pada kedudukannya berkenaan dalam syarikat mikrokredit, awal tahun lalu.

Peguam Dzulkefly, Jaden Phoon Wai Ken, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Arief Emran Arifin, sudah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen sebelum perbicaraan, pada 16 Mei.

Satu lagi pengurusan kes akan dibuat, pada 20 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.