
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, individu itu telah membuat pengakuan sepenuhnya bahawa rakaman suara tersebut dibuatnya sendiri.
“(Manakala) individu yang bergelar “Datin” tersebut merupakan seorang pegawai kepada bekas menteri luar negeri sebelum pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Tonton video di sini.
Wisma Putra berkata memandangkan laporan telah dibuat, maka siasatan jawatankuasanya akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya.
Pada 12 April lalu, Wisma Putra berkata, siasatan dalaman dibuat berhubung audio berdurasi 2.15 saat yang tular di media sosial itu.
Audio itu adalah berkenaan mesej seorang lelaki kepada seorang ‘Datin’ yang dipercayai bertujuan menyatakan permasalahan dalaman kementerian itu.
Ia dipercayai merujuk kepada isu dua diplomat tertinggi yang “direhatkan” berkait lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai baru-baru ini.
Wisma Putra turut memaklumkan pihaknya memandang serius tuduhan tidak berasas yang mengaitkan kementerian itu.
Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan bahawa langkah memanggil pulang duta besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan konsul jeneral Malaysia di Dubai adalah disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit mengurus lawatan Ismail ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.
Dua pegawai kanan terbabit gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan perdana menteri seperti yang sepatutnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan peringkat tertinggi negara di luar negara terutama semasa ketibaan perdana menteri di Dubai pada 29 Mac.
Kegagalan itu termasuk menyebabkan perdana menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh imigresen Dubai selain tiadanya liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri seperti amalan SOP.