Warga emas hidap kayap, bukan kesan sampingan vaksin

Warga emas hidap kayap, bukan kesan sampingan vaksin

Ia susulan tular di media sosial seorang warga emas menerima kesan sampingan selepas mendapat suntikan vaksin tunggal CanSino.

Pengarah JKN Perak Dr Ding Lay Ming berkata siasatan dan pemeriksaan ke atas warga emas itu mendapati dia menghidap penyakit Herpes Zoster atau kayap.
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menafikan seorang warga emas mendapat kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah klinik kesihatan di Kuala Kangsar, Perak, sehingga tular di media sosial.

Pengarah JKN Perak, Dr Ding Lay Ming, berkata sebaliknya siasatan dan pemeriksaan dilakukan ke atas warga emas itu mendapati dia menghidap penyakit “Herpes Zoster” atau kayap.

Katanya, pada 6 April lalu warga emas itu hadir berseorangan di Klinik Kesihatan Padang Rengas untuk rawatan susulan penyakit kronik.

“Ketika sesi konsultasi di bilik rawatan, pegawai perubatan mendapati warga emas tersebut belum pernah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

“Memandangkan beliau mempunyai masalah logistik dan sukar untuk datang ke klinik semula sekiranya terpaksa hadir untuk dos kedua, pegawai perubatan telah memberikan kaunseling mengenai suntikan dos tunggal vaksin CanSino.

“Warga emas tersebut bersetuju untuk menerima suntikan serta menandatangani borang persetujuan vaksinasi Covid-19 dan disuntik pada hari sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada 8 April sekitar jam 3 petang, individu itu hadir semula ke Klinik Kesihatan Padang Rengas bersama seorang waris dan mengadu mengalami ruam di bahagian kiri atas dada, leher dan bahu.

Berikutan itu, katanya, warga emas tersebut dirujuk ke Klinik Pakar Dermatologi Hospital Taiping pada 11 April dan pakar menjalankan pemeriksaan serta mengambil sampel bagi ujian makmal Tzanck Smear.

“Hasil ujian makmal mengesahkan individu tersebut menghidap penyakit Herpes Zoster atau kayap dan telah diberikan ubat anti-viral serta ubat tahan sakit.

“Tarikh temu janji susulan di klinik pakar pada 19 Mei 2022 telah diberikan dan keadaan pesakit kini stabil serta dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.