
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Foo Yong Hooi dipetik China Press berkata, ini kerana kedutaan Indonesia di Malaysia belum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu bagi pengambilan pembantu rumah.
Justeru katanya, majikan tidak dapat memulakan proses pengambilan yang memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu.
Foo turut meminta Kementerian Sumber Manusia menjelaskan sama ada gaji pembantu rumah Indonesia pada kadar RM1,200 atau RM1,500 mulai 1 Mei nanti.
“Dalam MoU (memorandum persefahaman), ia menyatakan majikan perlu membayar gaji pembantu rumah sekurang-kurangnya RM1,500,” katanya.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, pembantu rumah Indonesia akan dibayar tidak kurang daripada kadar gaji minimum yang dikuatkuasakan di Malaysia.
Ketika ini, kadar gaji minimum ditetapkan ialah RM1,200, namun akan dinaikkan kepada RM1,500 mulai 1 Mei ini.
Bagaimanapun, Foo memberitahu akhbar berbahasa Cina itu bahawa pembantu rumah tidak patut terikat kepada peraturan gaji minimum kerana mereka tidak dikategorikan sebagai pekerja lapangan yang layak menerima bayaran kerja lebih masa.