Kaji semula penggunaan MySejahtera, kata MPN

Kaji semula penggunaan MySejahtera, kata MPN

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, MPN menyerahkan kepada KKM untuk menentukan penggunaan berterusan aplikasi itu.

Majlis Pemulihan Negara menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk menentukan bila penggunaan aplikasi MySejahtera akan dihentikan secara berperingkat.
PUTRAJAYA:
Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan kajian semula penggunaan aplikasi MySejahtera – yang dibangunkan untuk mengendalikan pandemik Covid-19 – sebagai alat pengesanan kontak.

Pengerusi MKN, Muhyiddin Yassin berkata, ini memandangkan negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan aplikasi itu masih diperlukan kerana data yang dikumpul boleh digunakan untuk membendung penularan virus itu.

“Kami serahkan kepada KKM untuk menentukan sama ada mahu teruskan atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini.

Beliau berkata, MPN yakin dengan strategi KKM dalam menangani pandemik dan terdapat petanda menggalakkan bahawa Malaysia akan berjaya dalam fasa peralihan ke endemik.

Muhyiddin merujuk kepada pembukaan semula sempadan negara yang lancar sebagai petunjuk baik negara akan pulih daripada kesan pandemik itu.

Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu, yang menyaksikan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP) harian. Bagaimanapun, penggunaan MySejahtera dikekalkan.

Bulan lalu, timbul gesaan supaya kerajaan menghentikan penggunaan aplikasi itu, dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, MySejahtera kurang berguna selepas negara memasuki fasa peralihan.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai mengakui pengesanan kontak mustahil dilakukan ketika kemuncak pandemik tanpa aplikasi itu, tetapi fungsinya tidak lagi berkesan seperti fasa awal Covid-19 kerana jumlah kes banyak direkodkan dalam komuniti ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.