
Dalam sidang media, beliau berkata pemilihan jenama dan pembekal kini dalam fasa terakhir dikendalikan Kementerian Kewangan (MoF).
“Kini kita dalam fasa akhir tunggu keputusan daripada MoF untuk memilih jenama dan pembekal, yang mana saya jangkakan minggu depan perkara itu dapat diselesaikan,” katanya sempena prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
Dalam pada itu, Annuar sekali lagi memberi jaminan peranti akan diterima pelajar khususnya bagi golongan B40 itu bukan peranti “cikai”, tetapi jenama premium yang sudah berada di pasaran.
“Ada suara kata kita nak bagi peranti cap ayam, peranti OEM (pengeluaran produk tulen) la, saya kata dekat ketua setiausaha (KKMM) saya tak nak (peranti) cap ayam, saya tak nak peranti murah yang cikai-cikai tetapi peranti terbaik yang ada di pasaran,” katanya.
“Jangan tiba-tiba datang peranti cap ros ke, cap teye atau cap apa-apa yang dibuat secara OEM. Tidak. Saya beri jaminan peranti (yang kita beri) kalau takde duit empat angka, memang tak boleh beli.”
Permohonan bagi Pakej PerantiSiswa itu akan dibuka mulai 8 pagi esok dengan peruntukan sebanyak RM450 juta membabitkan tempahan peranti sebanyak 350,000 unit.
Bagaimanapun, Annuar berkata, kos sebenar keseluruhan program berkenaan hanya akan diketahui selepas keputusan tender diterima namun menegaskan jumlahnya tidak akan melebihi siling ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan program pemberian peranti itu bukan bersifat “one-off” atau pemilikan penuh oleh pelajar yang menerimanya.
“Program ini bukan program ‘one-off’. Bukan bersifat pemilikan dan bukan juga asalkan pelajar B40 semua boleh ambil. Bukan begitu. Kita hanya fokus kepada mereka (pelajar B40) yang belum ada peranti.
“Ini kerana apabila ada kerosakan atau sebarang masalah, pelajar boleh kembalikan semula kepada pembekal atau pihak universiti dan kita akan berikan peranti gantian sementara ia dibaiki. Asalkan, pelajar kita sentiasa ada peranti untuk melakukan tugasan,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan pertama yang akan menerima peranti itu dijangka pada Jun ini dan selepas itu permohonan bagi rayuan akan dibuka 60 hari selepas agihan kumpulan pertama.
Katanya, permohonan bagi kes rayuan itu antaranya pelajar M40 yang keluarganya jatuh ke kumpulan B40 akibat pandemik Covid-19, ibu bapa mereka kehilangan pekerjaan, rumah terbakar, banjir atau sebarang masalah yang boleh diberi pertimbangan.
“Konsep kita, sediakan kemudahan kepada pelajar tanpa terlalu rigid. Jangan berpolemik mengenai caranya tetap K-KOM akan pastikan program peranti siswa ini kita akan ambil pendekatan terbuka dan fleksibel agar program ini bermanfaat kepada semua siswa seluruh negara,” katanya.