Bersimpatilah sikit, turunkan harga tiket, aktivis beritahu syarikat penerbangan

Bersimpatilah sikit, turunkan harga tiket, aktivis beritahu syarikat penerbangan

Aktivis membidas kenaikan harga tiket penerbangan dan meminta syarikat terbabit mengambil kira keadaan rakyat yang masih terkesan dengan pandemik.

Tiket pergi balik antara Kuala Lumpur dan Sabah serta Sarawak meningkat sebanyak lebih 500% untuk tempoh perayaan antara 29 April hingga 8 Mei.
KOTA KINABALU:
Aktivis pengguna Patrick Sindu membidas kenaikan harga tiket penerbangan bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu serta Kuching ketika tempoh sambutan Hari Raya akan datang.

Menurutnya, harga yang dikenakan terlalu tinggi dan beliau merayu syarikat penerbangan supaya bersimpati dengan orang ramai yang tidak dapat melakukan perjalanan selama dua tahun kerana wabak Covid-19.

Minggu lalu, Bernama melaporkan tiket pergi balik itu meningkat sebanyak 566% bagi tempoh perayaan bermula 29 April hingga 8 Mei.

“Ini tidak adil kepada orang ramai yang ingin pulang bertemu keluarga di Sabah atau Sarawak,” kata Sindu kepada FMT. “Syarikat penerbangan mesti mempunyai tanggungjawab sosial, terutama dalam mengambil kira kesan Covid-19.

“Pengguna masih belum pulih daripada pandemik dan oleh itu kuasa beli mereka mungkin tidak ada untuk kebanyakan perkara, apatah lagi tiket penerbangan yang terlalu mahal.”

Menurutnya, lonjakan harga ini akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi kerana ia akan menghalang orang ramai daripada melakukan perjalanan walaupun sempadan negara dibuka semula.

Beliau menggesa supaya Putrajaya mewujudkan satu sistem untuk mengawal harga, terutamanya untuk rakyat Malaysia.

“Jika syarikat penerbangan tidak dapat menurunkan harga mereka kepada kadar yang boleh diterima, maka lebih baik untuk membuka ruang udara. Saya pasti ada syarikat penerbangan yang berminat untuk menyediakan laluan ini.”

November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa syarikat penerbangan menyelesaikan isu harga tiket mahal ke Sabah dan Sarawak terutamanya ketika cuti akhir tahun dan musim perayaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan menetapkan harga siling kerana memahami keadaan syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata, dia bersimpati dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang ingin bertemu keluarga selepas sekian lama berjauhan namun kini berdepan “satu lagi halangan”.

“Anda (syarikat penerbangan) boleh menjalankan perniagaan dan menjana keuntungan, tetapi jangan bersikap kejam terhadap pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.