
Kula berkata, isu gaji perlu diselesaikan sebelum pembantu rumah terbabit tiba di Malaysia memandangkan ia adalah komponen penting dalam memorandum persefahaman (MoU) terbaru antara Malaysia dan Indonesia mengenai pengambilan dan perlindungan pekerja dari republik itu.
Semalam, Saravanan berkata, kerajaan tidak bersetuju dengan gaji RM1,500 bagi pembantu rumah dari Indonesia kerana gaji minimum di Malaysia masih RM1,200.
Bagaimanapun, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata, nilai RM1,500 itu khusus dinyatakan dalam MoU.
Kula berkata, adalah kewajipan Saravanan untuk menjelaskan sama ada gaji minimum pembantu rumah sebanyak RM1,500 atau RM1,200.
“Kenapa kedua-dua negara bercakap tentang kadar gaji yang berbeza apabila adanya perjanjian? Ini mengelirukan orang ramai,” kata ahli Parlimen Ipoh Barat itu dalam kenyataan.
Mengenai kos pengambilan pekerja yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan bakal majikan, beliau menggesa Saravanan bersikap “jujur dan telus” mengenai jumlahnya yang sebenar dengan memberikan pecahan perbelanjaan yang terperinci.
Kula berkata, majikan ingin tahu berapa yang perlu mereka bayar kepada ejen dari kedua-dua negara memandangkan Saravanan semalam berkata, kos untuk mengambil pembantu rumah akan turun daripada RM9,000 kepada RM6,000 mengikut MoU baharu itu.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu melihat negara lain sebagai sumber pembantu rumah bagi memenuhi permintaan semasa yang tinggi di Malaysia.
“Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju membenarkan pengambilan pembantu rumah dari Nepal selepas berunding dengan pihak berkuasa di sana. Bagaimanapun, kami tidak dapat menandatangani perjanjian itu disebabkan Langkah Sheraton.
“Sudah lebih dua tahun berlalu dan perjanjian itu belum dimuktamadkan. Menteri berhutang penjelasan kepada rakyat Malaysia mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau menggesa Saravanan supaya bersikap jelas dan khusus dalam menangani kebimbangan rakyat berhubung perjanjian untuk membawa pembantu rumah ke negara ini.
“Beliau tidak boleh menyembunyikan butirannya, terutama apabila timbul banyak kecurigaan dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa wujud salah urus dan rasuah dalam pengambilan pekerja asing,” katanya.