
Khairuzilawati Ruslan, 57, yang juga guru di tadika beroperasi sejak Oktober 2016, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendedahkan kanak-kanak berusia tiga tahun lapan bulan dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan muka.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa mendedahkan kanak-kanak berusia tiga tahun tujuh bulan itu dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa lemas dengan menutup hidung dan mulutnya menggunakan kain mini telekung.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tadika Qurnia Genius di No 25, Tingkat 1, Jalan Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh di sini, antara 10.30 pagi dan 4 petang 7 Feb lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar mencadangkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan, iaitu tidak mendekati mangsa dan keluarganya.
Namun, peguam Nor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh merupakan ibu tunggal lapan anak serta mempunyai penyakit berkaitan otak.
Irwan membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak menghampiri dan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.