Najib yang cabar debat bulan Ramadan, kata Anwar

Najib yang cabar debat bulan Ramadan, kata Anwar

Presiden PKR berkata, kesediaannya untuk berdebat bagi menyahut cabaran berkenaan.

Anwar Ibrahim berkata, beliau menyatakan kesediaan berdebat bagi menyahut cabaran dan permintaan bekas perdana menteri Najib Razak.
PETALING JAYA:
Cabaran debat berkaitan isu Sapura Energy Berhad (SEB) untuk diadakan dalam bulan Ramadan merupakan permintaan asal bekas perdana menteri Najib Razak, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau bersedia untuk berdebat kerana menyahut cabaran berkenaan.

“Najib cabar saya debat, dia cabar bulan Ramadan, jadi saya jawab bulan Ramadan nak cabar debat buat apa. Jadi dah cabar debat, kita pula pantang dicabar jadi saya terpaksa terima. Kalau saya tak terima cabaran nanti dia kata saya tak berani pula.

“Kamu yang cabar saya bulan Ramadan, bila kita jawab dia kata lepas Ramadan jadi saya kata tak apa lah,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa Parlimen Port Dickson yang disiarkan di Facebook.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata beliau sudah bersedia untuk berdebat, bagaimanapun kesediaannya itu disindir Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil yang meminta beliau supaya menghormati Ramadan kerana semua pihak mahu menumpukan kepada beribadat.

“Kita tiada masalah kalau Anwar nak berdebat malam ini sekali pun, tetapi hormatilah orang berpuasa dan bersolat Tarawih beberapa minggu ini sahaja pun.

“Takkan nak mula debat semasa berpuasa atau selepas Tarawih dan habis tengah-tengah malam? Lepas habis puasa, kita debatlah sepuas hati,” kata Isham.

Hari ini kedua-dua penyelaras debat berkenaan sudah bertemu bagi penyelarasan berkaitan tarikh, rakan media dan moderator.

“Jadi petang tadi Fahmi (Fadzil) lapor pada saya, lepas Ramadan tapi saya kata jangan sekat, seperti cadangan awal dia nak Malaysiagazzate. Saya kata tak perlu, kita panggil Sinar ke, RTM, TV3 ke, siapapun dia, maklumat sampai pada rakyat.

“Jadi ada hikmahnya, kita tumpu baca quran dan ibadah dapat tingkatkan kepada darjat taqwa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.