Kemasukan pelancong ke Malaysia ambil masa untuk pulih, kata timbalan menteri

Kemasukan pelancong ke Malaysia ambil masa untuk pulih, kata timbalan menteri

Santhara Kumar berkata ramai pihak akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk merancang percutian susulan penularan wabak Covid-19.

Langkah beberapa negara yang belum bersedia membuka pintu sempadan masing-masing adalah antara faktor yang melambatkan pemulihan kedatangan pelancong luar ke Malaysia, menurut Santhara Kumar.
KUALA LUMPUR:
Kemasukan pelancong luar ke negara ini dijangka mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya walaupun pintu sempadan telah dibuka sejak 1 April.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Santhara Kumar berkata, hal ini kerana banyak pihak akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk merancang percutian, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih ada.

“Ia mungkin mengambil sedikit masa kerana orang perlu membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, ada juga pelawat terutamanya dari Singapura yang gemar menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk melihat kesesuaian melancong, sebagai contoh ketika musim cuti sekolah atau cuti istimewa di negara mereka,” katanya, semalam.

Santhara yang ditemui selepas pelancaran rasmi dan hari pengundian Pameran Hadiah Malaysia ke-12, berkata demikian sebagai mengulas perkembangan industri pelancongan sejak pintu sempadan negara dibuka.

Menurutnya langkah beberapa negara seperti China dan Jepun yang belum bersedia membuka pintu sempadan masing-masing bagi membolehkan rakyatnya melakukan perjalanan ke luar negara juga adalah antara faktor yang melambatkan pemulihan kedatangan pelancong luar ke Malaysia.

“Bagaimanapun MOTAC akan atasi perkara itu dengan cara memasarkan produk pelancongan Malaysia ke pasaran lain yang sudah membuka pintu sempadan, termasuk India dan Arab Saudi.

“Kita akan bekerjasama dengan pejabat pelancongan MOTAC di luar negara dan juga mengadakan program strategi pemasaran. Jadi kita amat positif tentang impaknya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.