Projek jeti kayu RM50,000 tiada unsur rasuah, kata SPRM

Projek jeti kayu RM50,000 tiada unsur rasuah, kata SPRM

Warganet sebelum ini mengecam kos pembinaan jeti kayu yang dikatakan dibina tidak sepadan dengan nilai peruntukan disalurkan.

Jeti kayu di Kampung Mutap, Miri, Sarawak, mendapat perhatian warganet baru-baru ini, susulan kosnya yang didakwa tinggi, berbanding reka bentuk termasuk bahan digunakan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang unsur rasuah berhubung pembinaan jeti kayu bernilai RM50,000 di Kampung Mutap, Miri, Sarawak.

Sebelum ini, ramai pihak menyuarakan keraguan terhadap mutu jeti itu termasuk mempersoalkan peruntukan RM50,000 dikeluarkan kerajaan untuk apa yang dilihat sebagai struktur kayu yang cukup ringkas.

Menurut sumber, ibu pejabat telah mengarahkan SPRM Sarawak meneliti projek bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu, susulan dakwaan kos yang mahal seperti dibangkitkan orang ramai.

“Hasil semakan dibuat tidak menunjukkan ada rasuah atau penyelewengan.

“Kayu yang diguna memang benar kayu belian hasil penelitian oleh pakar,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Semalam, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, berkata kayu belian digunakan untuk membina jeti itu bernilai RM9,000 semeter padu, iaitu lebih rendah daripada harga pasaran.

Katanya, kos itu turut mengambil kira banyak faktor seperti keadaan laluan jalan dan langkah keselamatan di sungai yang dipenuhi buaya.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15m dengan dua tangga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.