Nicky serah diri kerana Sosma gagal dilanjutkan, kata peguam

Nicky serah diri kerana Sosma gagal dilanjutkan, kata peguam

Rajpal Singh berkata, anak guamnya tidak bersetuju dikenakan Sosma kerana tidak adil terhadapnya.

Nicky Liow berhadapan 26 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613).
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan yang menjadi buruan polis sebelum ini, Nicky Liow bertindak keluar daripada persembunyian dan menyerah diri kepada polis semalam selepas mendapat tahu tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) gagal dilanjutkan di Dewan Rakyat.

Peguamnya, Rajpal Singh yang mendedahkan perkara itu berkata, sebaik mendapat tahu perkara itu, anak guamnya menyerah diri dan akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

“Pada asasnya, dia tidak setuju Sosma digunakan terhadapnya kerana percaya dia tidak terlibat dalam jenayah terancang.

“Dia fikir adalah tidak adil untuk menggunakan Sosma terhadapnya,” katanya.

Pada April tahun lalu, Nicky, pembantunya dan 14 yang lain didakwa mengikut Seksyen 130v Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, 14 individu terbabit dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi pada September.

“Nicky memberitahu jika isunya berkaitan dakwaan penglibatan dalam jenayah komersil, dia bersedia untuk melangkah ke hadapan, memberikan kenyataannya dan bekerjasama dengan polis,” katanya.

Dia bersembunyi selama setahun selepas polis melancarkan gerakan memburu kumpulannya yang didakwa terlibat dalam kegiatan penipuan Macau.

Ditanya sama ada Nicky pernah meninggalkan negara itu, Rajpal berkata, pada pengetahuannya, dia tidak pernah meninggalkan negara.

Hari ini, Nicky didakwa dengan 26 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.