Mahkamah tolak rayuan Adun Sungai Udang bantah petisyen calon BN

Mahkamah tolak rayuan Adun Sungai Udang bantah petisyen calon BN

Keputusan sebulat suara menolak rayuan Dr Mohd Aleef terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 11 Feb yang menolak bantahan awalnya.

Dr Mohd Aleef Yusof menang DUN Sungai Udang dengan majoriti 530 undi, menewaskan Mohamad Ali Mohamad dalam pertandingan empat penjuru pada PRN Melaka tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, hari ini gagal dalam rayuannya untuk membantah petisyen pilihan raya dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Sungai Udang, Mohamad Ali Mohamad, yang tewas pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 Nov tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Malaya, Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan, Mary Lim Thiam Suan dan Harmindar Singh Dhaliwal, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Aleef, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 11 Feb yang menolak, bantahan awalnya.

Hakim Azahar berkata, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal Aleef, adalah tidak boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Kami dengan teliti telah mempertimbangkan hujahan semua pihak, dan juga mempertimbangkan dengan teliti keputusan Mahkamah Pilihan Raya. Pada pandangan kami, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal tidak membatalkan petisyen pilihan raya itu. Pada pandangan kami, perintah Mahkamah Tinggi bukanlah penentuan dalam peruntukan Seksyen 36A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Oleh sebab itu keputusan Mahkamah Pilihan Raya tidak boleh dirayu kepada Mahkamah Persekutuan. Perayu (Aleef) tidak diprejudis kerana beliau masih boleh membawakan isu yang sama pada perbicaraan sebenar di hadapan Mahkamah Persekutuan. Oleh sebab itu mahkamah menolak rayuan ini,” kata Azahar dan menambah kos akan ditentukan dalam kos penyelesaian kes itu.

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, panel hakim mendengar hujahan daripada peguam Rosli Dahlan yang mewakili Aleef, peguam Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Ali dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga pegawai pengurus pilihan raya Sungai Udang.

Pada masa ini, perbicaraan masih berjalan dengan 13 saksi telah dipanggil. Perbicaraan di Mahkamah Pilihan Raya Melaka akan bersambung pada 18 April.

Pada 14 Dis, Ali, 57, memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Aleef, 35, daripada Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa terdapatnya elemen rasuah pada pilihan raya bagi kerusi Sungai Udang.

Beliau menamakan Aleef yang menang dengan majoriti 530 undi pada pertandingan empat penjuru, pegawai pengurus pilihan raya kerusi itu, dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya, sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam petisyennya, Ali yang merupakan ketua Umno Bahagian Tangga Batu, memohon untuk membatalkan kemenangan Aleef dan untuk diadakan pemilihan semula untuk kerusi itu.

Ali mendakwa Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti di bawah Seksyen 32 © Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.