
Menurut pekeliling dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Nor Zamani Abdol Hamid yang dilihat FMT, buku latihan juga dihadkan kepada dua buah bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa, manakala buku aktiviti yang boleh digunakan adalah yang disediakan oleh KPM.
Walaupun tiada sebarang alasan dinyatakan dalam pekeliling itu, guru berkata, langkah itu dikaitkan dengan usaha mengurangkan berat beg sekolah bagi murid-murid seperti yang dibahaskan di media.
“Buku teks merupakan bahan rujukan utama untuk menerangkan sesuatu konsep dan kandungan sesuatu mata pelajaran, manakala buku aktiviti merupakan bahan sokongan yang disertakan bersama-sama buku teks untuk meningkatkan penguasaan kemahiran (murid),” kata Nor Zamani dalam pekeliling bertarikh 24 Mac itu.
Beliau mengarahkan pihak berkuasa pendidikan negeri untuk memastikan semua sekolah mematuhi arahan dinyatakan dalam pekeliling ini yang menggantikan pekeliling bertarikh 3 Feb 2000.
Pada 2017, KPM membenarkan hanya satu buku kerja setiap satu bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Sains susulan bantahan daripada ibu bapa dan kumpulan pendidikan.
Mereka mendakwa, murid-murid dibebani dengan buku kerja yang perlu dibeli daripada kedai buku sekolah. Pihak pentadbir sekolah kemudiannya dituduh mendapat “bahagian” daripada peniaga buku, yang kemudiannya digunakan untuk penyelenggaraan sekolah dan lain-lain.
Nor Zamani berkata, keputusan terbaru itu dibuat dalam mesyuarat pengurusan tertinggi kementerian pada Februari.
Seorang guru besar yang dihubungi FMT berkata, sekolah telah membeli buku-buku kerja kerana ia dimasukkan dalam senarai buku sebelum sekolah dibuka semula bulan lepas.
“Pekeliling itu hanya dikeluarkan pada minggu terakhir Mac. Jadi kami kini dibelenggu dengan masalah mencari cara terbaik untuk menggunakannya kerana buku kerja berkesan dalam pengajaran,” katanya.
“Jika kementerian berkata murid hanya boleh menggunakannya selepas waktu persekolahan, maka kami perlu menggunakannya untuk kerja rumah.
“Bagaimanapun, ini bermakna mereka perlu membawanya ke sekolah, iaitu dalam beg sekolah mereka.”
Bagi buku latihan pula beliau berkata, mata pelajaran tertentu memerlukan lebih daripada dua buah kerana ia digunakan untuk aspek berbeza dalam mata pelajaran sebagai rujukan yang mudah dan berkesan, terutamanya untuk mata pelajaran bahasa.