
Sumber parti memaklumkan, pelakon dan penerbit, Hans Isaac dan penyanyi Altimet, dijangka bersaing merebut jawatan ketua bahagian PKR Ampang.
“Kedua-dua selebriti berkenaan dijangka bertanding dalam saingan sembilan penjuru,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki turut bertanding bagi jawatan ketua bahagian Setiawangsa.
Hans mengumumkan menyertai PKR pada 2020 manakala Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dan Afdlin menyertai parti itu tahun lalu.
Sebelum ini, timbul desas-desus Hans akan bertanding mewakili parti itu di Parlimen Ampang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU), selepas penyandang kerusi itu yang juga bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin, dipecat.
Pencalonan bagi jawatan ketua bahagian PKR berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lalu hingga 11.59 malam ini.