Aset RM4.3 juta milik pengedar dadah disita polis

Aset RM4.3 juta milik pengedar dadah disita polis

Polis berkata kejayaan itu susulan penangkapan dua suspek pengedar melibatkan rampasan dadah disyaki jenis ganja pada 9 Dis 2020.

Siasatan ‘asset tracing’ ke atas semua sekutu pengedar dadah dijalankan bagi memastikan semua aset dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia, menurut polis. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Polis Terengganu menyita tujuh lot tanah di beberapa lokasi di negeri ini termasuk yang menempatkan 10 unit chalet bernilai RM4.3 juta disyaki diperoleh daripada pendapatan kegiatan mengedar dadah.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata, kejayaan itu adalah susulan penangkapan dua suspek pengedar melibatkan rampasan dadah disyaki jenis ganja seberat 541.18 gram dan syabu seberat 46.7 gram pada 9 Dis 2020.

“Satu siasatan kewangan telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek oleh Bahagian Perlucuthakan Harta Jabatan Siasatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, yang pada permulaan kes ini tiada sitaan dibuat.

“Siasatan lanjut melalui penjejakan harta (asset tracing) melalui bank dan institusi kewangan berjaya menemui pemilikan tujuh harta tak alih oleh suspek yang diperoleh secara pembelian yang meragukan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Katanya, salah satu lot tanah yang disita ialah di Batu Rakit di Kuala Nerus dengan keluasan 9,105 meter persegi termasuk 10 chalet yang dibina di atas tanah berkenaan dengan anggaran nilai RM900,000.

Rohaimi berkata, turut disita adalah beberapa lot tanah termasuk di Kemaman, Dungun dan Marang.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan harta berkenaan adalah yang terbesar melibatkan pengedar dadah di negeri itu.

“Polis Kontinjen Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan meneruskan penyiasatan ‘asset tracing’ ke atas semua sekutu pengedar dadah dan memastikan kesemua aset ini dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.