12 ‘tawanan’ pulang ke tanah air, polis harap dapat bebaskan 45 lagi

12 ‘tawanan’ pulang ke tanah air, polis harap dapat bebaskan 45 lagi

Rakyat Malaysia ini antara yang mendakwa ditahan secara paksa di luar negara oleh sindiket jenayah selepas terpedaya dengan iklan pekerjaan.

Kumpulan 12 rakyat Malaysia yang tiba di klia2 hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Polis akan berusaha membebaskan 45 lagi rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi tawanan di negara-negara Asia Tenggara termasuk Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Ini susulan kepulangan 12 rakyat Malaysia ke tanah air hari ini selepas didakwa ditahan secara paksa oleh sindiket jenayah di Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, polis menerima 35 laporan berhubung 45 lagi individu yang disyaki masih menjadi tawanan di luar negara.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Aseanapol dan pihak berkuasa lain untuk membawa mereka pulang,” katanya kepada pemberita di klia2.

Jalil berterima kasih kepada pihak berkuasa Kemboja, Aseanapol dan Kementerian Luar atas bantuan masing-masing dalam menyelamatkan 16 rakyat Malaysia baru-baru ini.

Hanya 12 orang tiba di klia2 pagi ini kerana empat lagi sedang menjalani kuarantin di Kemboja selepas disahkan positif Covid-19.

Jalil berkata, polis akan merekodkan keterangan daripada 12 individu tersebut untuk mengetahui apakah yang berlaku.

Minggu lepas, beliau mengumumkan bahawa polis Kemboja berjaya menyelamatkan 16 rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, pada 5 April.

Beliau berkata, semua 16 individu, yang berusia antara 19 dan 43 tahun, dipaksa bekerja sebagai “scammer”.

“Semua mangsa mendakwa diperdaya oleh iklan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan dan segala kos perjalanan ditanggung syarikat di Kemboja,” katanya dalam kenyataan.

“Setelah tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan ketat. Siasatan awal polis mendapati mangsa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.