RUU had tempoh jawatan PM perlu dibentang pada Mei, gesa ahli Parlimen

RUU had tempoh jawatan PM perlu dibentang pada Mei, gesa ahli Parlimen

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, sidang khas Parlimen pada bulan Syawal itu perlu masukkan perkara itu.

Nga Kor Ming berkata, RUU Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri sehingga 10 Tahun perlu dibentang pada sidang khas Parlimen bulan depan.
KUALA LUMPUR:
Nga Kor Ming (Teluk Intan-DAP) menggesa Rang Undang-undang (RUU) Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri sehingga 10 Tahun dibentang pada sidang khas Parlimen bulan depan.

“Sesi sidang khas ini termasuk usul hadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

“Sidang khas bulan Syawal perlu masukkan perkara ini,” katanya ketika membahaskan RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, dilaporkan pindaan Perlembagaan RUU anti-lompat parti akan dibentang dan diluluskan dalam sidang khas Parlimen sebelum hujung Mei ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu diputuskan menerusi perbincangan pemimpin utama gabungan itu dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang dalam sidang Dewan Rakyat Mac lepas, termasuk RUU berkaitan anti-lompat parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Ismail yang mahu RUU itu disegerakan, selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan PH pada 13 Sept 2021.

Pada 2 April lalu, Wan Junaidi mendedahkan 39 ahli Parlimen melompat parti sejak 2018 dan tindakan itu membawa kepada ketidakstabilan politik, selain negara turut menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal Parlimen.

Sidang khas Parlimen adalah mesyuarat yang diadakan semasa Majlis dalam penangguhan dan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3), urusan-urusan mesyuarat itu hendaklah ditetapkan oleh perdana menteri dan pemberitahuan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli tidak lewat dari masa mesyuarat itu hendak diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.