
Katanya, pengharaman itu akan turut menjejaskan pengedar, penjual dan pekerja berkaitan industri itu.
“Malah, sektor berkaitan, termasuk perniagaan alat ganti dan bengkel membaiki motosikal akan turut terkesan,” katanya dalam catatan Facebook.
Pada 7 April lalu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap lambakan motosikal “kapcai” lincah berprestasi tinggi yang merupakan antara punca utama peningkatan kadar nahas jalan raya.
Saranan itu menyusul keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal itu selepas tersebar video model keluaran terbaru Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai “Si Belang” yang mencecah kelajuan 177 km/j melalui ujian terkini mesin “dyno”.
“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya, sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya),” kata Acryl Sani.
Zahid berkata, dianggarkan 11 juta penduduk Malaysia menggunakan “kapcai” dalam kegiatan harian mereka, termasuk ke tempat kerja.
Ini kerana, katanya, bukan semua orang mampu membeli kereta, khasnya golongan berpendapatan rendah dan pelajar.
Beliau berkata, usaha memperkasakan keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan undang-undang lebih berkesan bagi mencegah kemalangan membabitkan motosikal berbanding pengharaman motosikal berprestij tinggi.