
Katanya, sikap masyarakat memandang remeh isu cabul memburukkan keadaan dan memudahkan si pelaku meneruskan aktiviti tidak bermoral itu.
“Mangsa tidak mahu lapor polis kerana anggap perkara itu remeh dan takut dipersendakan. Ini kerana wujudnya anggota masyarakat yang salahkan mangsa yang kena cabul, sama ada dari segi pakaian, berbanding dengan fokus kepada isu pencabulan. Mereka sepatutnya fokus kepada penjenayah.
“Masyarakat harus bertanggungjawab dalam isu ini. Mereka tidak sedar, hilangnya fokus kepada isu berkenaan (cabul) dengan hanya fokus kepada ‘victim blaming’, mendorong kepada peningkatan kes cabul,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kes cabul di yang dilaporkan berlaku pada 5 Apr lepas, di ruang parkir Tamarind Square, Cyberjaya.
Pada 6 April, polis berjaya memberkas seorang penghantar e-panggilan berusia 20 tahun, di Taman Putra Perdana, Puchong, disyaki terlibat dalam dua kes cabul di kawasan itu.
Dalam pada itu, Kamal berkata, pengurusan pusat beli belah itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana gagal menyediakan susun atur atau reka bentuk bangunan yang boleh mengelakkan sebarang unsur jenayah.
“Bukan menjadi satu kewajiban untuk melakukan penilaian jenayah sebelum perancangan ataupun pengurusan bangunan,” katanya.
Sementara itu, pensyarah syariah dan undang-undang Zizi Azlinda Mohd Yusof berkata, usaha mewujudkan masyarakat lebih peka kepada isu gangguan seksual harus bermula dari rumah.
“Didikan ibu bapa tidak dapat lari dalam hal ini. Didik anak-anak lelaki agar melindungi kaum hawa, mengawal bahan tontonan dan bacaan mereka.
“Anak-anak yang terbiasa dan terjumpa bahan-bahan pornografi dalam telefon bimbit ayah atau ibu bukan sedikit di tanah air kita. Jika anak-anak membesar dalam suasana toksik seperti ini, bagaimana mahu aman daripada kes cabul dan rogol?,” soalnya kepada FMT.