Laluan Lingkaran untuk ‘semua’, CEO MRT perjelas stesen di kawasan mewah

Laluan Lingkaran untuk ‘semua’, CEO MRT perjelas stesen di kawasan mewah

Komuniti-komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan turut perlu dihubungkan dengan seluruh laluan, kata Zarif Hashim.

MRT3, iaitu jajaran lingkaran sepanjang 50.8km meliputi perimeter Kuala Lumpur, dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.
PETALING JAYA:
Projek Laluan Lingkaran Mass Rapid Transit 3 (MRT3) tidak boleh melangkau lokasi tertentu termasuk kawasan-kawasan yang dianggap mewah seperti Mont Kiara kerana ia penting dalam meningkatkan kesalinghubungan keseluruhan di Kuala Lumpur, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp Zarif Hashim.

“Kami perlu merentasi kawasan-kawasan seperti Mont Kiara kerana laluan MRT3 berbentuk lingkaran,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara eksklusif.

Tambahnya, penjajaran optimum adalah penting.

“Kita perlu dapat menghubungkan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di Segambut Dalam dan Taman Sri Sinar dengan seluruh laluan. Memandangkan Mont Kiara berada dalam laluan itu, kita tidak boleh melangkaunya.”

Sebilangan pengguna media sosial mengadu bahawa cadangan jajaran Laluan Lingkaran MRT3 menyediakan perkhidmatan bagi kawasan-kawasan mewah yang penduduknya mungkin tidak menggunakan pengangkutan awam.

Zarif berkata, MRT Corp memutuskan untuk mempunyai stesen di Mont Kiara agar mereka yang tinggal dan bekerja di situ juga mendapat perkhidmatan pengangkutan terbaik.

Katanya, terdapat pekerja yang terpaksa berulang-alik ke Mont Kiara untuk pergi ke pelbagai kedai makan dan kedai servis di situ. Dengan kesesakan yang kerap berlaku di jalan-jalan menghala ke kawasan itu, stesen MRT diperlukan bagi memudahkan pergerakan penduduk dan pekerja.

Zarif berkata, Laluan Lingkaran MRT3 juga direka bentuk untuk meliputi banyak kawasan pada masa ini yang sama ada kurang atau tidak mendapat perkhidmatan rangkaian rel bandar sedia ada di Kuala Lumpur.

Ini termasuk Segambut Dalam, Taman Sri Sinar, Setapak, Pandan, Pantai Permai dan Jalan Klang Lama.

Beliau berkata, stesen yang dicadangkan untuk MRT3 juga boleh membantu peluasan rangkaian transit Lembah Klang pada masa akan datang menerusi laluan ke lebih banyak kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

Zarif berkata, projek MRT3 akan menjalani pemeriksaan awam pada Julai, membuka peluang untuk “perubahan hati” bagi mana-mana kawasan yang pada mulanya tidak menerima projek itu.

MRT3, iaitu jajaran lingkaran sepanjang 50.8km yang meliputi perimeter Kuala Lumpur, dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030 dengan fasa pertama ditetapkan memulakan operasi pada 2028.

Projek itu akan terdiri daripada 40.1km landasan bertingkat dan 10.7km terowong bawah tanah dengan 31 stesen – 10 daripadanya akan menjadi stesen pertukaran dengan laluan rel sedia ada di Lembah Klang.

Anggaran kos pembinaannya adalah RM31 bilion, tidak termasuk RM8 bilion yang dibelanjakan untuk pemerolehan tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.