Farhash tanding naib presiden, beri laluan Saifuddin cabar Rafizi jawatan No 2 PKR

Farhash tanding naib presiden, beri laluan Saifuddin cabar Rafizi jawatan No 2 PKR

Farhash Wafa Salvador yang juga bekas ketua PKR Perak berkata pengundurannya memberi laluan kepada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berentap dengan Rafizi Ramli.

Farhash Wafa Salvador mengakui akar umbi menyokongnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR, namun beliau menghormati keputusan Saifuddin Nasution yang ingin bertanding jawatan nombor dua parti itu.
PETALING JAYA:
Farhash Wafa Salvador hari ini mengesahkan menawarkan diri sebagai calon naib presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden untuk mencabar Rafizi Ramli.

Dalam sidang media selepas menyerahkan borang pencalonannya, Farhash yang juga bekas ketua PKR Perak berkata, pengunduran beliau itu sekali gus memberi laluan kepada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berentap dengan Rafizi.

“Saya (hari ini menghantar borang pencalonan) bertanding naib presiden,” katanya ringkas.

Beliau mengakui akar umbi menyokongnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden bagaimanapun menghormati keputusan Saifuddin yang ingin bertanding jawatan nombor dua parti itu.

“Saya bagi laluan kepada Saifuddin untuk bertanding timbalan presiden melawan Rafizi Ramli. Sokongan saya teranglah, kalau beri laluan dekat dia, beri sokongan dekat dialah,” katanya turut menyatakan sokongan kepada Adam Adli sebagai ketua Pemuda PKR dan Fadhlina Sidek sebagai ketua Wanita.

Farhash turut mengesahkan akan berdepan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari merebut jawatan ketua cabang Gombak pada pemilihan bagi sesi 2022-2025.

Pada pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan timbalan presiden. Beliau kemudian dilantik sebagai naib presiden dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2018-2021.

Bagaimanapun, jawatan timbalan presiden kosong sejak dua tahun lalu selepas Azmin dipecat oleh parti itu pada 24 Feb 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.